PKR hari ini melantik Amirudin Shari sebagai pengerusi majlis pimpinan negeri (MPN) untuk Selangor, manakala Rafizi Ramli dipilih mengetuai badan itu untuk Wilayah Persekutuan.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata keputusan itu diambil selepas dia mengadakan mesyuarat dengan semua ketua cabang parti terbabit bagi negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Rafizi merupakan timbalan presiden PKR, manakala Amirudin yang juga menteri besar Selangor menjadi salah seorang naib presidennya.

Kata Anwar mesyuarat tersebut diadakan petang tadi bagi memuktamadkan proses pelantikan pengerusi baru MPN.

"Dalam mesyuarat tersebut kesemua ketua cabang di Selangor bersetuju dengan pelantikan Amirudin sebagai Pengerusi MPN Selangor manakala semua ketua cabang Wilayah Persekutuan bersetuju dengan pelantikan Rafizi sebagai Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan," katanya.

Menurut Anwar lagi dia percaya dengan pelantikan Rafizi dan Amirudin itu, persiapan parti menghadapi pilihan raya umum akan datang dapat dijalankan dengan lebih segera.