Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu hari ini bersetuju melantik bekas Adun Pemanis di Johor, Dr Chong Fat Full, sebagai ketua baru Sayap Bersekutu itu.

Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, berkata pelantikan tersebut kuasa serta-merta.

Chong memenangi kerusi Pemanis dalam pilihan raya umum (PRU) lalu atas tiket PKR namun meninggalkan parti berkenaan ekoran insiden Langkah Sheraton pada 2020.

Bagaimanapun dalam Pilihan Raya Negeri Johor yang diadakan pada Mac lalu, Chong diletakkan bertanding sebagai calon Bersatu di Tangkak.

Dia kemudian kalah kepada calon Pakatan Harapan.

Kata Hamzah, pelantikan tersebut dibuat sebagai sebahagian daripada usaha Bersatu untuk terus merancakkan penglibatan ahli-ahli bersekutu Bersatu dalam gerak kerja jentera parti.

“Bagi menyuntik kekuatan baru jentera parti dalam kalangan golongan muda pula, mesyuarat sebulat suara bersetuju melantik Nur Fadzilah Kamaluddin sebagai Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja) dan Suhainna Jamri sebagai Naib Ketua Sayap Srikandi Muda (Penaja).

“Pelantikan-pelantikan ini adalah sebahagian daripada ketetapan penting bagi melengkapkan struktur organisasi pilihan raya parti di peringkat pusat dan mencerminkan kesiapsiagaan Bersatu menghadapi PRU ke-15 pada bila-bila masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod sebelum ini ketua sayap yang menghimpunkan ahli bukan Melayu Bersatu itu diketuai Ahli Parlimen Segamat, Edmund Santhara Kumar Ramanaidu.

Santhara Kumar merupakan bekas ahli parlimen PKR yang turut terbabit dalam Langkah Sheraton dan kini dilantik sebagai timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya.

Bulan lalu dia dilaporkan meninggalkan Bersatu.

Berdasarkan laporan yang memetik sumber, Santhara Kumar dilaporkan sudah menyerahkan surat meninggalkan Bersatu kepada Hamzah selepas dikatakan berpendapat masa depannya sebagai ahli parlimen bukan bumiputera dalam parti itu semakin gelap.

Menurut Hamzah, mesyuarat MPT yang dipengerusikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, juga mengucapkan setinggi tahniah atas kejayaan besar pelancaran Perikatan Nasional Terengganu yang mendapat sambutan luar biasa pada 30 Julai lalu.