Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (Pemuda PKR) akan terus membuat pendedahan mengenai dokumen rasuah walaupun kerajaan menggunakan polis untuk mengugut pemimpin pembangkang, kata Pemangku Ketuanya, Shamsul Iskandar Md Akin.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab angkatan itu untuk membetulkan sebarang penyelewengan dalam kerajaan berhubung isu-isu yang membabitkan kepentingan rakyat.

Pergerakan itu, katanya, percaya tekanan yang diberikan oleh pemerintah tidak akan melenturkan aspirasi rakyat yang mahukan dasar kerajaan yang tidak menyeleweng dan mengutamakan kebajikan orang ramai.

"Oleh itu, kami bersedia untuk terus mendedahkan dokumen termasuk yang didakwa sebagai dokumen rahasia, demi kepentingan rakyat terbanyak," kata dalam satu kenyataan media hari ini.

Shamsul Iskandar berkata demikian sebagai merujuk kepada siasatan polis ke atas empat pemimpin pembangkang kerana mendedahkan kandungan perjanjian konsesi tol di negara ini.

Kepentingan rakyat

Mereka ialah Ketua Penerangan PKR, Tian Chua; Bendahari PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli dan Ketua Badan Bukan Kerajaan (NGO) DAP, Ronnie Liu.

Shamsul Iskandar berkata, Pemuda PKR berpendapat sebarang dokumen yang membabitkan kepentingan rakyat tidak perlu ada sekatan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Menurutnya, ini kerana rakyat berhak mengetahui sebarang perjanjian yang ada kena mengena dengan mereka, seperti kenaikan bayaran tol.

"Pendirian Pemuda PKR ialah penggunaan OSA adalah tidak perlu atau hanya digunakan atas isu yang ada hubungkait dengan keselamatan negara," katanya.

Shamsul Iskandar mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meneruskan dasar keras Tun Dr Mahathir Mohamad seperti penggunaan polis untuk menakutkan orang awam dalam perhimpunan membantah kenaikan tol.