Umno akan melancarkan projek `Kelantan World' dalam misi parti itu untuk merampas semula negeri itu daripada parti PAS menjelang 2015.

Menurut sumber Umno, strategi projek tersebut diatur dengan teliti bagi merealisasikan matlamat Umno kembali memerintah Kelantan pada tahun berkenaan.

Barisan Nasional (BN) kehilangan Kelantan dalam pilihanraya umum 1990 kepada barisan pembangkang Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dianggotai oleh PAS dan parti Semangat 46 (S46) pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah, parti Hamim dan Berjasa.

S46 merupakan parti serpihan Umno yang ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh selepas Umno diisytiharkan haram pada tahun 1988 ekoran pertandingan sengit pucuk pimpinanannya di mana beliau telah mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan presiden parti itu.

Tengku Razaleigh tewas dengan majoriti kecil tetapi ekoran itu beberapa perwakilan membawa perkara itu ke mahkamah yang kemudiannya mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan haram.

S46 telah dibubarkan pada 1996 dan keseluruhan ahlinya, termasuk Tengku Razaleigh telah kembali menyertai semula Umno.

Kelantan kini masih diperintah oleh PAS dengan hanya kelebihan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). PAS mempunyai 23 kerusi manakala BN 22 kerusi.

Siri perbincangan

Sementara itu, sumber Umno tersebut memberitahu malaysiakini , rangka kerja mengenai projek 'Kelantan World' itu sudah dua kali dibincangkan oleh pemimpin Umno dan cerdik pandai rakyat Kelantan.

Katanya, ia kali pertama dibincangkan di Universiti Sains Malaysia (USM) cawangan Kelantan dua tahun lalu dan di Universiti Malaya (UM) akhir tahun lalu.

Sumber itu berkata, melalui projek 'Kelantan World' itu, Umno negeri akan menggembeleng tenaga untuk membawa masuk pelaburan, kepakaran dan tenaga mahir ke negeri itu.

"Ia bertujuan untuk membuktikan bahawa hanya Umno yang mampu membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat Kelantan yang kini mundur di bawah pemerintah PAS.

"Dengan begitu ramai rakyat Kelantan yang berjaya sebagai ahli perniagaan dan tenaga profesional, Umno yakin Kelantan World akan menjadi kenyataan," katanya.

'Kelantan World' dirangka bersama oleh Institut Pemikiran Kreatif (Inspek) dan Majlis Kemajuan Kelantan (MKK). Inspek merupakan sebuah badan pemikir bebas, manakala MKK ditubuhkan oleh Umno Kelantan.

Sumber itu berkata, 'Kelantan World' merangkumi pembangunan baru dalam bidang politik, ekonomi, budaya hidup rakyat Kelantan.

Bawa pembangunan

"Semuanya serba baru untuk rakyat Kelantan. Politik jatuh menjatuhkan seperti yang diamalkan sekarang, tidak akan wujud lagi selepas 2015.

"Sebaliknya, rakyat Kelantan bersatu di bawah Umno kerana kerajaan PAS yang ada hari ini gagal membawa kemajuan," katanya.

Sumber itu berkata, Kelantan juga akan menjadi pusat pendidikan penting dan dijangka lebih banyak pusat pendidikan tinggi diwujudkan di negeri itu selepas Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di mana kampusnya kini dalam proses pembinaan.

Selepas 2015, katanya, Kelantan di bawah pemerintahan Umno nanti, akan mempunyai kemudahan asas yang lengkap dan setanding dengan negeri-negeri maju yang lain.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif Inspek, Datuk Suhaimi Yaacob ketika dihubungi berkata, beberapa siri perbincangan lagi akan diadakan sebelum 'Kelantan World' dilaksanakan.

Katanya, matlamat 'Kelantan World' adalah untuk mengubah negeri Kelantan kepada pembangunan bersepadu dalam semua aspek kerana selama ini ia jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.