mk-logo
Berita
Tiga maut, dua cedera disambar petir dekat Rumah Putih

GLOBAL | Para saintis berkata perubahan iklim meningkatkan kemungkinan kejadian kilat dan petir di seluruh Amerika Syarikat (AS), selepas petir menyambar di dataran berhampiran Rumah Putih, menyebabkan tiga orang maut dan seorang lagi dalam keadaan kritikal.

Keadaan panas dan lembap di Washington DC, pada hari Khamis telah menjadi sumber tenaga elektrik. Suhu udara meningkat ke tahap 94 darjah Fahrenheit (34 darjah Celsius) – atau 5F (3C) lebih tinggi daripada suhu maksimum biasa bagi tarikh 4 Ogos selama 30 tahun, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS.

Lebih banyak haba boleh menarik lebih banyak lembapan ke atmosfera, di samping menggalakkan peningkatan pantas - dua faktor utama menjadi punca zarah bercas, yang membawa kepada pembentukan petir.

Satu kajian utama yang dikeluarkan pada 2014 dalam jurnal Science memberi amaran bahawa bilangan sambaran petir boleh meningkat sebanyak 50 peratus pada abad ini di Amerika Syarikat, dengan setiap 1 C (1.8 F) pemanasan diterjemahkan kepada peningkatan 12 peratus dalam bilangan kilat yang menyambar.

Alaska yang cepat memanas telah menyaksikan peningkatan 17 peratus dalam aktiviti petir sejak 1980an yang lebih sejuk iklimnya. Di California pula yang biasanya kering, 'ledakan' kira-kira 14,000 kejadian petir pada Ogos 2020 mencetuskan beberapa kebakaran hutan terbesar di negeri itu dalam rekod.

Di luar Amerika Syarikat, terdapat bukti bahawa sambaran petir juga berlaku di India dan Brazil.

Walaupun kejadian sambaran petir meningkat, namun kemungkinan untuk seseorang terkena panahan kilat masih jarang berlaku di Amerika Syarikat, kata pakar.

Kira-kira 40 juta petir di negara itu direkodkan setiap tahun, menurut Pusat Kawalan Penyakit AS - dengan kebarangkalian sambaran kurang daripada 1 dalam sejuta.

Di antara mereka yang terkena, kira-kira 90 peratu dapat bertahan, kata CDC. Negara itu mencatatkan sebanyak 444 kematian akibat sambaran petir dari 2006 hingga 2021.

Dua lelaki dan dua wanita disambar petir pada hari Khamis ketika melawat Dataran Lafayette Washington, terletak di utara Rumah Putih, merupakan antara segelintir warga yang tidak bernasib baik - terkena panahan kilat yang mengenai tanah semasa ribut petir melanda pada petang itu.

Petir menyambar berhampiran pokok yang berdiri beberapa meterdari pagar yang mengelilingi kediaman presiden dan pejabat di seberang dataran, yang sering sesak dengan pengunjung, terutama pada musim panas.

Keempat-empat mangsa mengalami kecederaan kritikal yang mengancam nyawa, dan dibawa ke hospital kawasan. Dua daripada mereka kemudian meninggal dunia: James Mueller, 76, dan Donna Mueller, 75, dari Janesville, Wisconsin, kata Jabatan Polis Metropolitan.

Haba, lembapan jana petir

"Kami sedih dengan kehilangan nyawa yang tragis ini," kata Rumah Putih dalam satu kenyataan pada hari Jumaat.

"Hati kami bersama keluarga yang kehilangan orang tersayang, dan kami berdoa untuk mereka yang masih berjuang untuk hidup mereka."

Kemudian pada hari Jumaat mangsa ketiga, seorang lelaki berusia 29 tahun, disahkan meninggal dunia, kata Jabatan Polis Metropolitan. Butiran lanjut mengenai mangsa dirahsiakan sehingga waris dimaklumkan mengenai kejadian disambar kilat itu.

Kerana haba dan lembapan sering diperlukan untuk menjana petir maka kebanyakan serangan kilat berlaku pada musim panas.

Di Amerika Syarikat, negeri Florida yang berpenduduk padat dan beriklim subtropika menyaksikan paling ramai orang terbunuh oleh kilat.

(Laporan oleh Gloria Dickie di London; laporan tambahan oleh Frank McGurty di New York dan Chris Gallagher di Washington; suntingan oleh Louise Heavens, Mark Porter dan Shri Navaratnam)

- Reuters

Lihat Komen
ADS