Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kenapa DBKL kepung Padang Merbok dengan pagar besi, soal MP
Diterbitkan:  Aug 6, 2022 1:38 PM
Dikemaskini: 5:44 AM

Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpul (DBKL) yang bertindak membina pagar besi di sekeliling Padang Merbok.

Anggota Parlimen Segambut Hannah Yeoh dan Ahli parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil turut menyoal jika binaan itu merupakan reaksi kerajaan susulan kehadiran ratusan peguam yang menyertai himpunan menyokong badan kehakiman, pada Jun lalu.

Bercakap pada sidang media di Padang Merbok hari ini, mereka mendapati binaan pagar itu kelihatan berstruktur kekal dengan ketinggian lima kaki.

Yeoh berkata dia menerima aduan daripada orang awam berkenaan binaan tersebut beberapa hari lalu .

Katanya lagi, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias memberi respon melalui ciapan di Twitter bahawa binaan pagar itu susulan kerja-kerja naik taraf sedang dijalankan.

"Timbalan menteri menyatakan DBKL sedang menjalankan kerja-kerja menaik taraf Padang Merbok manakala kontraktor terpaksa menutup dan memasang pagar untuk kerja naik taraf.

"Tetapi pagar itu kelihatan seperti struktur kekal dan ini tidak sepatutnya berlaku kerana di Kuala Lumpur kita ada Dataran Merdeka, Padang Merbok yang selalu dikunjungi orang ramai, apabila ada pagar seperti ini seolah-olah kita bagi mesej bukan semua orang boleh guna," kata Yeoh.

Jelasnya, keadaan itu tidak sewajarnya berlaku kerana di Kuala Lumpur tidak terdapat banyak padang untuk orang ramai menjalankan aktiviti riadah.

"Saya ingin bertanya kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur adakah ini reaksi kerajaan selepas protes peguam yang berjalan dari Padang Merbok ke Parlimen pada Jun lalu, adakah disebabkan protes itu?

"Saya mahu pagar ini diturunkan selepas kerja-kerja naik taraf siap. Saya mengalu-alukan kerja-kerja naik taraf, tetapi pagar mesti diturunkan supaya semua orang boleh guna (tempat ini)," kata Yeoh yang juga ahli parlimen DAP.

Tambahnya pembinaan pagar itu juga dilihat untuk menghalang rakyat daripada berkumpul sebelum berjalan ke bangunan parlimen bagi menghantar memorandum atau melalui protes.

"Padang Merbok, yang hanya kira-kira 300 meter dari parlimen, telah menjadi tempat berkumpul rakyat sebelum pergi ke parlimen untuk menghantar memorandum.

“Sekarang ini seolah-olah (kerajaan) enggan melihat bantahan dan suara mereka," kata Yeoh.

Sementara itu Fahmi berkata berdasarkan struktur pagar tersebut ia dilihat memerlukan belanja yang besar bagi pembinaannya.

"Jika pagar ini bersifat sementara seperti didakwa timbalan menteri, ia semestinya menelan belanja yang agak tinggi, biasanya kita lihat pagar seperti ini dibuat sebagai pagar kekal. Di Kuala Lumpur biasanya pagar seperti ini dibina dengan lebih rendah bagi melarang berlaku aktiviti tertentu contohnya aktiviti jenayah.

"Ini menghantar satu isyarat yang kurang baik, kita harap ia tak kekal. Jika kekal kita lihat banyak aktiviti di sini akan terganggu. Misalnya jika untuk bermain rugbi, sekiranya bola terkeluar jauh dari pagar, mereka terpaksa berjalan jauh untuk ambil bola tersebut.

"Kalau niat kerajaan untuk naik taraf kita tak halang, memang kita tengok banyak kawasan padang di Kuala Lumpur perlu dinaik taraf, tetapi mungkin tak perlu belanja begitu besar, fokus kepada padang bukannya pagar.

"Pagar begini saya rasa agak besar. Jadi kita minta timbalan menteri menjelaskan berapa kos untuk membina pagar sementara ini," soal Fahmi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS