Empat jawatan naib presiden PBB kosong
Bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Adenan Satem tidak akan mempertahankan jawatan naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam tidak akan mempertahankan jawatannya dalam perhimpunan agung parti itu di Miri Jumaat ini.
Majlis Tertinggi PBB baru-baru ini memutuskan bahawa semua jawatan naib presiden parti dan ke atas, tidak akan dipertandingkan.
Menurut Adenan, beliau telah memaklumkan hasratnya itu kepada presiden parti yang juga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
"Saya rasa sudah tiba masanya bagi saya untuk memberi laluan kepada orang muda, dan saya hanya bertindak sebagai penasihat. Saya sudah namakan (Bendahari PBB) Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan, jika boleh, sebagai calon bagi mengisi kekosongan jawatan saya dalam parti," katanya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.
Bernama melaporkan, Adenan, 63, juga menyatakan penghargaan semua pihak, termusuk Taib, yang menyokong beliau dan memberi kepercayaan terhadapnya selama ini.
"Yang pasti, saya akan tetap setia kepada PBB serta Barisan Nasional (BN), dan bersedia memberikan bantuan pada bila-bila masa sahaja apabila diperlukan," katanya.
Adenan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan bertanding dalam pilihanraya Sarawak pada 20 Mei lalu. Beliau bagaimanapun, tidak dilantik menganggotai kabinet negeri dan hanya kekal sebagai ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri.
Pada 26 Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi turut mengumumkan hasratnya untuk mengundurkan diri daripada jawatan naib presiden PBB.
Angkatan baru
Effendi, 59, yang memegang jawatan itu selama dua penggal sejak 1998 turut memberi alasan untuk memberi peluang kepada generasi muda menjadi pemimpin angkatan baru bagi memajukan parti pada masa depan.
Naib presiden yang lain bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Dr Sulaiman Daud dan Datuk Stephen Timothy Wan Ullok serta naib presiden kanan, Datuk Seri Celestine Ujang Jilan turut mengumumkan hasrat untuk mengundur diri dari politik.
Adenan, Effendi, dan Timbalan Presiden PBB Datuk Seri Abang Johari Tun Openg, yang juga Menteri Perumahan Sarawak, sebelum ini dikatakan antara pemimpin negeri yang berpotensi menggantikan Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang, yang juga timbalan presiden parti yakin, PBB selaku tulang belakang kepada komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak akan diperkuatkan menerusi kesinambungan kepimpinan untuk mengekalkan kestabilan politik.
Kira-kira 1,259 perwakilan serta pemerhati politik dijangka menghadiri perhimpunan PBB, yang bertemakan "Bersama Menempuh Gelombang Kedua" itu.
Bernama juga melaporkan, perhimpunan agung PBB itu juga akan menjawab spekulasi mengnai masa depan politik presidennya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga Ketua Menteri Sarawak.
Namakan pengganti
Perhimpunan itu turut menjadi tumpuan sama ada Taib, yang telah berkhidmat di bawah pimpinan semua lima perdana menteri Malaysia, akan menggunakan perhimpunan itu untuk menamakan penggantinya.
Spekulasi itu tersebar luas ketika pemimpin berusia 70 tahun itu, yang telah menjadi ketua menteri hampir 26 tahun, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala selepas menjalani pembedahan kanser usus awal tahun lalu.
Perhimpunan agung itu, sepatutnya diadakan pada September 2005 tetapi ditangguhkan berikutan pilihan raya negeri pada 20 Mei tahun lepas, juga dijangka akan memberikan lebih banyak isyarat mengenai corak perkembangan politik Sarawak pada tahun-tahun akan datang, terutamanya PBB ialah tunggak Barisan Nasional (BN) negeri.
Berikutan Majlis Tertinggi (MT) PBB memutuskan tiada perebutan bagi jawatan utama daripada naib presiden sehingga presiden, pertandingan hanya tertumpu kepada saingan merebut 20 kerusi MT.
Lebih 10 tahun lalu, Taib membuat satu daripada pengumuman parti yang paling diingati iaitu beliau akan membimbing tiga orang Timbalan Presiden PBB, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg, Adenan dan Effendi untuk menjadi penggantinya bila tiba masanya untuk beliau mengundurkan diri.
Bagaimanapun, seorang pemimpin kanan PBB berkata, perancangan tersebut "sedikit sebanyak telah tergelincir ditelan masa dan perkembangan selepas itu".
Pindaan perlembagaan
Ekoran pengumuman Adenan, Effendi, Dr Sulaiman, Celestine dan Stephen untuk mengundurkan diri, ia bermakna satu jawatan naib presiden kanan dan tiga naib presiden
kosong dan perlu diisi kali ini.
Memandangkan tiada bagi jawatan naib presiden kali ini, maka pengisiannya dilihat akan dibuat melalui pelantikan oleh pucuk pimpinan parti.
PBB telah menubuhkan satu jawatankuasa, seperti mengikut perlembagaan parti, untuk memberi kuasa kepada perwakilannya yang dipilih untuk melantik presiden baru dan juga Ketua Menteri akan datang jika perlu.
PBB ditubuhkan hasil penggabungan antara parti kaum Melayu dan Melanau iaitu Parti Bumiputera dan parti kaum Iban, Parti Pesaka pada 1973 dan mempunyai kira-kira 300,000 anggota.
Perdana Menteri Abdullah dijadual merasmikan perhimpunan agung itu pada Sabtu. Ia akan disusuli dengan mesyuarat agung luarbiasa untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan pergerakan Wanita dan Pemuda menangguhkan perhimpunan agung masing-masing ke satu tarikh yang ditentukan kemudian.

