Harga-harga saham di Bursa Malaysia lebih teguh pada penutupan pasaran hari ini dengan jumlah dagangan melonjak kepada 2.347 bilion saham iaitu paras tertinggi dalam sejarah, ekoran minat yang diperlihatkan pelabur-pelabur institusi terhadap kaunter-kaunter mewah dan kaunter-kaunter berharga rendah tertentu, kata peniaga.

Nilai dagangan keseluruhan berjumlah RM3.279 bilion. Semalam, sebanyak 2.095 bilion saham bernilai RM3.416 bilion diniagakan, demikian menurut laporan Bernama.

Rekod jumlah dagangan harian sebelum ini adalah sebanyak 2.19 bilion saham yang dicapai pada 6 Disember 2006. Pada 5 April, jumlah dagangan mencecah 2.01 bilion, didorong oleh keghairahan membeli oleh pelabur-pelabur persendirian di kaunter-kaunter berharga kurang daripada seringgit dan saham-saham Mesdaq.

Peniaga-peniaga itu berkata peningkatan hari ini disokong oleh dana-dana asing yang membeli saham-saham mewah dan berwajaran tinggi terpilih ekoran kedudukan ringgit yang lebih kukuh.

Mata wang tempatan itu mencecah paras RM3.49 bagi setiap dolar AS hari ini, iaitu tahap tertinggi sejak tambatannya dimansuhkan pada Julai 2005.

Pada akhir dagangan hari ini, pengukur utama pasaran, Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) naik 0.56 peratus atau 6.94 mata kepada 1,243.57, rendah sedikit daripada tahap tertinggi 1,243.63 hari ini. Ia dibuka 1.51 mata lebih tinggi pada 1,238.14.

Indeks Papan Kedua susut 0.27 mata kepada 95.50, Indeks Perusahaan naik 11.01 mata kepada 2,431.71, Indeks Mesdaq meningkat 1.04 mata kepada 127.91 dan Indeks Kewangan mengukuh 153.56 mata kepada 10,310.1.

Bagi siri Indeks FTSE-BM, FBMEmas melompat 60.72 mata kepada 8,225.44 dan FBM30 meningkat 66.31 mata kepada 8,082.11.

Jangkaan penggabungan

"Ada banyak peluang bagi pelabur untuk melabur di tengah-tengah fundamental yang kukuh," kata seorang peniaga.

"Sebahagian besar kegiatan pasaran didorong oleh pengukuhan ringgit, jangkaan mengenai penggabungan dan pengambilalihan dalam sektor kewangan dan minat yang tinggi terhadap kaunter-kaunter berkaitan indeks," katanya, sambil menambah bahawa bursa tempatan mempunyai keupayaan untuk mengekalkan jumlah dagangan semasa.

Saham untung mengatasi saham rugi dengan jumlah 541 berbanding 360 manakala 276 kaunter tidak berubah, 199 tidak diniagakan dan 41 digantung urus niaga.

Marco Holdings Bhd-waran mengungguli senarai saham-saham cergas dengan 118.46 juta saham diurus niaga. Ia susut setengah sen kepada 10 sen.

Berikutnya ialah Affin Holdings Bhd-waran 3 yang menokok 6.5 sen kepada 57 sen dengan 80.55 juta saham diniagakan.

Iris naik tiga sen kepada 35 sen, Pan Malaysian Industries menambah setengah sen kepada 4.5 sen dan UEM World meningkat 18 sen kepada RM2.97.

Kaunter-kaunter kewangan adalah antara yang menikmati kenaikan besar, dengan Maybank dan Hong Leong Bank meningkat 20 sen, masing-masing kepada RM13.60 dan RM6.55.

Rashid Hussain Bhd (RHB) dan unit perbankannya, RHB Capital, meneruskan peningkatan masing-masing ekoran laporan bahawa lembaga pengarah Utama Banking Bhd memilih untuk berunding secara eksklusif dengan Kuwait Finance House mengenai penjualan kepentingan Utama dalam RHB.

Saham RHB naik

RHB mengukuh 10 sen kepada RM1.68 dan RHB Capital meningkat empat sen kepada RM4.32 manakala Utama naik 15 sen kepada RM1.87 sebelum urus niaga saham masing-masing digantung petang tadi untuk memberi laluan kepada pengumuman keputusan rundingan itu. Urus niaga saham-saham itu akan disambung semula esok.

Saham-saham perladangan juga terus menarik minat berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah.

Kuala Lumpur Kepong meningkat 50 sen kepada RM16.70, Sime Darby naik 10 sen kepada RM8.30 dan Golden Hope mengukuh 15 sen kepada RM7.05.

Jumlah dagangan di Papan Utama melonjak kepada 1.760 bilion saham bernilai RM2.883 bilion daripada 1.484 bilion saham bernilai RM2.994 bilion semalam.

Di Papan Kedua, jumlah dagangan bertambah kepada 98.686 juta saham bernilai RM65.824 juta berbanding 93.635 juta saham bernilai RM64.002 juta sebelumnya.

Pasaran Mesdaq mencatatkan pertambahan jumlah dagangan kepada 331.979 juta saham bernilai RM154.149 juta berbanding 309.249 juta saham bernilai RM127.567 juta.

Waran opsyen belian, bagaimanapun, susut jumlahnya kepada 156.144 juta saham bernilai RM175.538 juta daripada 207.702 juta saham bernilai RM230.520 juta.

Jumlah urus niaga langsung meningkat kepada 44.793 juta saham bernilai RM76.626 juta daripada 26.854 juta saham bernilai RM50.931 juta.

Sektor barangan pengguna menguasai 21.400 juta saham yang diniagakan di Papan Utama, barangan perusahaan 145.914 juta, pembinaan 206.239 juta, perdagangan/perkhidmatan 377.748 juta, teknologi 16.149 juta, prasarana 30.003 juta, kewangan 245.585 juta, hotel 7.016 juta, harta 215.429 juta, perladangan 27.353 juta, perlombongan 687,200, REIT 4.936 juta, dana

tertutup 1.201 juta, ETF 405,000 dan pinjaman 459.969 juta.