Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini "mengucap tahniah" kepada para pejuang Iraq yang mengempur pencerobohan tentera yang diketuai Amerika di negara itu, sambil menggesa mereka "memastikan rakyat Amerika membayar harga yang tinggi di atas perbuatan mereka itu".

"Saya ucap tahniah kepada para pejuang Iraq. Teruskan. Anda akan mencapai kejayaan," kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO) ketika berucap menutup persidangan mengenai jenayah perang di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, para pejuang di Iraq telah membuktikan bahawa "ia bukannya sesuatu yang mudah untuk masuk ke Iraq dan mengambil alihnya" merujuk kepada jangkaan awal Amerika bahawa pejuang tersebut akan dapat dipatahkan dalam beberapa minggu atau bulan sahaja.

Malangnya, kata beliau, harga yang terpaksa dibayar ialah semakin ramai tentera Amerika yang terbunuh dihantar pulang ke negara mereka. Ini, tambah beliau, akan mempengaruhi pendapat orang awam Amerika mengenai pencerobohan ke atas Iraq.

"Bila anda berbuat demikian, malangnya, anda mungkin membunuh ramai rakyat Amerika. Bila keranda dihantar pulang, bila beg-beg berisi mayat dibawa pulang ke Amerika, maka ia akan membantu mengubah fikiran rakyat Amerika," katanya.

'Pembunuh kanak-kanak'

Sebelum ini, Dr Mahathir mengecam Presiden Amerika, George W Bush dan Perdana Menteri Britain Tony Blair sebagai "pembunuh kanak-kanak" tetapi komen terbarunya ini adalah yang paling keras terhadap pencerobohan ke atas Iraq.

"Saya pasti, apabila semakin ramai tentera Amerika terbunuh di Iraq, maka perasaan rakyat Amerika akan berubah dan mereka akan mula melihat sebagaimana ketika perang Vietnam dahulu betapa sia-sianya pengorbanan anak-anak muda yang dihantar ke Iraq.

"Seramai 23,000 lagi akan dihantar ke sana. Mereka akan pergi ke Iraq dan ramai daripada mereka akan terbunuh, mereka akan dihantar pulang dalam keranda. Dan bila rakyat Amerika melihat keranda dihantar pulang, maka barulah mereka akan faham apakah erti peperangan," tambahnya.

Katanya, keadaan di Iraq sekarang sepatutnya membuat Amerika memahami bahawa "tiada seorangpun yang harus menguasai dunia, menukar kerajaan dan melakukan apa saaja yang mereka suka," katanya.

Dr Mahathir menutup persidangan tiga hari itu yang turut mencadangkan penubuhan tribunal perang bagi membicarakan pemimpin dan kerajaan yang melaku jenayah perang. Ucapannya disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin.

Dalam ucapannya itu, Dr Mahathir juga berkata, beliau menyokong peperangan jika dilakukan seperti dahulu di mana panglima tertinggi tentera tidak seperti Bush yang mengisytiharkan perang ke atas negara lain, berada di barisan hadapan.

"Jika Bush bersedia mengetuai bala tenterannya di barisan hadapan, berperanglah," kata Dr Mahathir, sambil menyindir "panglima tertinggi tentara" yang memberi arahan 5,000 batu jauhnya dari medan perang..

Dalam sidang akhbarnya kemudian, Dr Mahathir berkata, tidak timbul percanggahan antara seruannya kepada para pejuang di Iraq untuk terus membunuh tentera Amerika, dengan kenyataannya bahawa "perang bukanlah satu pilihan untuk menyelesaikan pertikaian".

"Jika ia perang untuk mempertahan diri, ianya berjustifikasi. Rakyat Iraq berperang mempertahankan negara mereka sendiri.

"Jika Iraq menceroboh Amerika, saya akan menyokong Amerika," tambahnya.