Umno Kelantan memperkenalkan `Kelantan World' bagi membawa arus pembangunan baru yang lebih pantas dan dinamik untuk dinikmati oleh rakyatnya, kata Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Panglima Annuar Musa.

Katanya, Kelantan telah berada dalam era kegelapan selama lebih 30 tahun dan menjadikan negeri itu yang paling miskin dan penyumbang paling kecil kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Pada tahun 2000, katanya, KDNK negara adalah 14,584 tetapi KDNK per kapita bagi negeri Kelantan adalah 0.43 sahaja dan ia dijangka meningkat sebanyak 0.02 sahaja dalam Rancangan Malaysia kesembilan (RMK9).

Sehubungan itu, Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Peringat berkata, Kelantan World adalah satu cita-cita untuk melihat Kelantan bangun, maju dan terkenal di peringkat antarabangsa.

"Kelantan World adalah konsep "Think Big" demi mencari inspirasi untuk menggaris satu strategi abad ke-21 yang boleh membangun Kelantan sebagai pusat kecemerlangan akademik, perniagaan dan pusat perkembangan agama yang progresif.

"Visi Kelantan World boleh berjaya kerana negeri itu mempunyai modal insan yang terbaik dalam negara," katanya ketika berucap di Seminar Pembangunan dan Hari Kebudayaan Kelantan di Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk itu, kata Annuar, satu strategi baru diperlukan untuk menyahut cabaran pembangunan abad ke-21 dan ia akan hanya berjaya melalui perancangan yang strategik.

Senyuman sinis Tok Guru

Kelantan, tegasnya lagi, telah diracuni oleh budaya jumud selama 30 tahun dan menghadapi masalah dalam semua dimensi sama ada infrastruktur baik sikap, dominan dan sosio-ekonomi dan sistem perlaksanaan.

Annuar berkata, walaupun 'Dasar Membanguna Bersama Islam' menjadi dasar pentadbiran PAS Kelantan walaupun selepas lima tahun diwar-warkan ia masih merupakan negeri yang paling mundur.

Katanya, ada yang berhujah bahawa pembangunan tidak relevan untuk Kelantan kerana rakyatnya sudah maju dan dinamik.

Menurutnya, ia dilihat melalui proses penghijrahan beramai-ramai rakyat Kelantan ke luar negeri dan memulangkan segala kekayaan ke negeri asal mereka.

"Oleh yang demikian, kumpulan ini mewarnai jalan raya utama dengan slogan 'kepulanganmu adalah kebanggaanku' dan diselitkan dengan senyuman sinis Tok Guru.

"Pandangan tersebut, katanya adalah satu pendapat kerana faktor penghijrahan itu adalah kemiskinan keluarga. Mereka terpaksa merantau untuk mencari sesuap nasi," katanya.

Annuar berkata, ini adalah kegagalan kerajaan negeri untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada semua yang ingin bekerja.

Pembangunan ekonomi

Katanya, kajian yang dibuat oleh Universiti Teknologi Mara (UITM) Machang dan Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) menunjukkan 81.1 peratus pengundi atas pagar mahu melihat Kelantan membangun seperti negeri-negeri lain.

Menurutnya, `Kelantan World' akan membolehkan negeri Cik Siti Wan Kembang itu maju dalam segala aspek pembangunan ekonomi, pendidikan dan agama.

Katanya, selain infrastuktur perhubungan, bangunan usang akan diganti dengan bangunan baru yang mempunyai identiti Kelantan.

Selain itu, di beberapa kawasan wujud pertumbuhan ekonomi baru untuk memberi peluang anak-anak muda yang telah lama berhijrah kembali ke kampung halaman.

"Juga terbentuk satu kawasan Region State yang menghubungi Delta Kelantan dengan Selatan Thailand, Terengganu dan Pahang," katanya.

Annuar berkata, kajian juga menunjukkan penduduk Kelantan yang miskin, bukan sahaja miskin ekonomi tetapi juga mindanya.

Jajahan termiskin

Dalam beberapa kajian, katanya, kemiskinan yang masih tinggi di Kelantan berkait rapat dengan tahap pendidikan akademik, penglibatan gunatenaga dalam sektor pertanian tradisional, perhutanan, jenis pekerjaan yang diceburi, pemilikan hartanah, status penerimaan bantuan dan amalan keagamaan mereka.

"Lima jajahan di Kelantan adalah antara 10 daerah yang termiskin di Malaysia. Jajahan tersebut ialah Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat dan Pasir Puteh," katanya.

Annuar berkata, kajian juga mendapati satu pertiga dari golongan miskin dan termiskin menyatakan rasa puas hati dan sangat berpuas hati dengan kehidupan mereka.

Katanya, keadaan sosio-ekonomi d kawasan pesisir pantai amat menyedihkan kerana sumber mata pencarian adalah menjadi nelayan, kerja kampung, membatik dan berniaga secara kecil-kecilan.

Beliau berkata, apabila ayah mereka ke laut atau ibu menjual kuih, anak-anak ditinggalkan dan keadaan ini mempengaruhi cara hidup mereka.

"Anak menjadi terbiar kerana ibu bapa menyifatkan mereka sebagai beban hidup," katanya.