Penduduk Bukit Koman, Raub terperanjat apabila mendapat kelulusan diberikan kepada projek melombong emas menggunakan sianida (cyanide) berasaskan kepada laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang dijalankan 10 tahun yang lalu.

Jawatankuasa bertindak penduduk mengetahui perkara itu dalam surat yang dihantar oleh Jabatan Alam Sekitar Pahang, bertarikh 8 Januari lalu, kepada Sahabat Alam Malaysia (SAM).

"Surat itu menjelaskan bahawa projek melombong dan memproses emas di kawasan 300 ekar di Bukit Koman oleh Raub Australian Mining Sdn Bhd berasaskan kepada laporan EIA yang diluluskan pada 13 Januari 1997.

"Kami begitu terperanjat kerana laporan EIA yang dibuat 10 tahun lalu berasaskan kepada keadaan yang berbeza sama sekali," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Menurut jawatankuasa tersebut, pada 1997, kerja melombong emas dilakukan dengan menggunakan kaedah graviti dan kimia.

"Penggunaan sianida juga amat berbeza dengan kaedah menggunakan graviti dan kimia dan berpotensi mengakibatkan kesan-kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk," katanya kenyataan itu lagi.

Kira-kira 2,000 penduduk Kampung Baru Bukit Koman mempersoalkan keputusan agensi kerajaan negeri membenarkan operasi melombong emas menggunakan sianida di Bukit Koman sejak awal tahun ini.

Penggunaan sianida di Bukit Koman mula disedari melalui surat-menyurat antara Jabatan Galian Pahang, Jabatan Geosains dan SAM.

Surat-surat tersebut mendedahkan bahawa jabatan berkenaan telah memberi surat kuasa kepada pemaju Raub Australian Gold Mining, bertarikh 21 Ogos 2006 membenarkan penggunakan sianida untuk melombong emas.

Dianggarkan 70 peratus emas telah dilombong menggunakan proses pemisahan graviti. Untuk melombong baki emas di situ, larutan sianida digunakan yang membabitkan proses elektrolisis.

Syarikat berkenaan yang merupakan anak syarikat Peninsula Gold Ltd dari London, telah diberi tugas untuk melombong emas daripada sisa pelombongan sebelumnya dan deposit oxida.

Pengarahnya, Andrew Kam Tai Yeow tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenainya.

Bukan untuk awam

Jawatankuasa tersebut kemudiannya berkata mereka telah mencuba untuk mendapatkan salinan laporan EIA itu daripada pejabat Alam Sekitar (JAS) di Pahang dan Putrajaya.

"Kami juga telah pergi ke JAS Putrajaya dan menghubungi JAS Pahang untuk mendapatkan laporan tersebut, tetapi kedua-duanya tidak dapat mencari dokumen tersebut," katanya.

Ketika dihubungi, Penolong Pengarah Kanan JAS di Kuantan, Azuri Azizah Saedon berkata dokumen itu bukan untuk orang awam. Ia boleh diperolehi dengan membuat permohonan rasmi kepada ketua pengarah JAS.

Jawatankuasa tersebut juga mendesak supaya surat kuasa tersebut ditarik balik supaya sianida tidak digunakan di Bukit Koman.

Di samping itu, jawatankuasa tersebut juga menuntut supaya dibuat laporan EIA yang baru.

"Jika boleh, kajian EIA terperinci hendaklah dilakukan untuk memboleh orang awam turut memberi maklum balas mengenai perkara ini," katanya. Berita asal