Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nur Jazlan ramal Umno 'mati' 10 tahun lagi jika enggan berubah
Diterbitkan:  Aug 10, 2022 4:46 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Umno akan 'mati' dalam hati orang muda atau pengundi baru dalam tempoh 10 tahun lagi jika parti itu tidak berani melakukan perubahan, kata Nur Jazlan Mohamed.

Kecuali, kata Timbalan Pengerusi Umno Johoritu lagi, jika parti itu bergerak untuk menerima perubahan yang dibawa oleh kira-kira empat juta pengundi baru pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Dia turut memberi gambaran bagaimana pengundi muda akan mendominasi dan membentuk keutusan pilihan raya akan datang, dan pada masa sama meninggalkan Umno dengan penyokong yang lebih tua dan semakin berkurangan jumlahnya.

"Hakikatnya dunia dan landskap politik sudah banyak berubah.

"Pengundi muda bakal mendominasi cita rasa dan pilihan selepas PRU ke-15, dan mulai PRU ke-16 pula, pengundi matang Umno hanya tinggal berapa kerat saja lagi.

"Oleh itu Umno, kena lakukan perubahan dari sekarang, buat peremajaan mulai PRUke-15 ini," katanya.

Tambah Nur Jazlan, masih belum terlambat untuk Umno melakukan perubahan namun ia perlu dilakukan segera.

Perubahan itu, katanya, mestilah mampu menambat hati pengundi muda dan pengundi baru ini.

"Umno perlu melaksanakan perubahan dari pelbagai aspek. Perubahan pemikiran, pendekatan, kepimpinan dan perubahan pada calon-calon PRU ke-15 nanti," katanya.

Bosan politik retorik

Dalam kenyataan sama Nur Jazlan turut mempersoalkan jika Umno itu mahu melihat saja parti-parti lain seperti DAP, PKR dan Muda mempengaruhi golongan pengundi baru terbabit.

Dia yang juga ketua Umno Pulai berkata, Umno tidak boleh lagi terlalu bergantung harap kepada pengundi matang sedia ada saja sedangkan peluang untuk meraih sokongan pengundi berusia 18 tahun terbuka luas.

Justeru Nur Jazlan turut menyatakan sokong terhadap kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semasa Konvensyen BN Selangor bulan lalu yang minta kepimpinan negeri memberi peluang kepada muka baru serta golongan profesional menjadi calon bagi merampas kembali Selangor.

"Kata Zahid, golongan 'warlord' BN sebagai orang politik perlu berjiwa besar untuk menerima kelompok profesional dan orang muda sebagai calon-calon PRUke-15 nanti.

"Saranan presiden Umno itu sebenarnya bukan untuk BN Selangor saja tapi juga untuk semua BN di negeri-negeri lain.

"Kalaulah pandangan presiden Umno itu boleh diterima dengan hati terbuka atas semangat mengutamakan perjuangan parti, saya percaya masa depan Umno atau BN bertambah cemerlang di masa akan datang," jelasnya.

Mengulas lanjut Nur Jazlan berkata, pengundi muda hari ini sudah tak hairan dengan cara politik lama yang penuh retorik dan menyandarkannya kepada bangsa dan agama

Katanya, orang muda lebih tertarik kepada politik 'movement based' yang bermula dalam skala kecil tapi menarik cita rasa mereka sama ada bertentangan dengan budaya atau undang-undang.

"Sebab itulah apabila ada pihak buat flash mob, petisyen dan piket politik, kita lihat ramai anak muda turun padang sampaikan ada politikus guna modal nak halalkan ganja pun, ada anak muda yang sokong.

"Oleh itu Umno kena berubah ikut trend semasa tapi dalam pendekatan penuh rasional untuk menawan hati pengundi muda ini.

"Kalau tak susahlah Umno nak bawa orang muda bersama dalam gerakan parti di masa depan," katanya.

Lihat Komen
ADS