Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Larangan guna pembesar suara luar semasa ceramah sejak 2017 - Jais
Diterbitkan:  Aug 10, 2022 6:45 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah mengeluarkan arahan kepada pentadbir masjid dan surau seluruh negeri itu untuk tidak membenarkan penggunaan pembesar suara luar bagi sesi kuliah yang dijalankan sejak 2017.

Pengarah Jais Datuk Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan arahan itu telah dikeluarkan kepada pihak terbabit pada 23 Okt 2017 selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan perkara tersebut pada 16 Okt 2017.

"Sultan Selangor dengan jelas menitahkan bahawa penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah hendaklah dihadkan di dalam ruang atau dewan masjid dan surau sahaja.

"Pembesar suara luar hanya boleh digunakan bagi tujuan azan dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran bagi tempoh pendek sebelum azan dilaungkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata titah baginda dibuat agar imej dan kemuliaan agama Islam sebagai suatu sistem cara hidup yang sempurna, dinamik serta sentiasa mementingkan kesejahteraan masyarakat seluruhnya dapat dirasai oleh semua pihak dan seterusnya menjadi contoh teladan yang baik.

Mohd Shahzihan berkata siasatan lanjut akan dibuat mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No.9 Tahun 1995 kerana disyaki berlakunya satu perbuatan melanggar titah Sultan Selangor atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam di negeri tersebut.

Beliau berkata demikian bagi merujuk laporan media semalam yang melaporkan seorang lelaki direman empat hari hingga 12 Ogos bagi membantu siasatan polis selepas mengamuk di sebuah surau di Ampang Campuran, Ahad lepas kerana terganggu akibat kuliah subuh yang didakwanya terlalu bising.

- Bernama

Lihat Komen
ADS