Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU larangan tukar parti: AGC dapatkan perkenan Agong
Diterbitkan:  Aug 10, 2022 10:58 AM
Dikemaskini: 10:58 AM

Jabatan Peguam Negara (AGC) akan menjalankan proses untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah susulan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) No. 3 2022 Pindaan mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang telah diluluskan di Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan hari ini berkata ia selaras dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata perintah kuat kuasa tarikh peruntukan tersebut juga akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan tarikh kuat kuasa mengikut Fasal 1 Rang Undang-undang tersebut.

“Setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membuat pemakluman melalui surat kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri untuk mengesyorkan kepada semua negeri mengenai pindaan terhadap Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan semua Dewan Undangan Negeri meminda Perlembagaan Negeri masing-masing dengan memasukkan peruntukan larangan bertukar parti agar selaras dengan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.

Wan Junaidi berkata pindaan terhadap Perlembagaan Negeri itu adalah untuk penyeragaman dengan undang-undang Persekutuan di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan berharap agar semua negeri menerima pakai cadangan peruntukan ini supaya kestabilan politik dapat dikekalkan dan penyeragaman sistem boleh dicapai bukan sahaja di peringkat Persekutuan bahkan di peringkat negeri,” katanya.

Pada 28 Julai lepas, pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti telah diluluskan dengan mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan di Dewan Rakyat.

Semalam, rang undang-undang berkenaan turut diluluskan di Dewan Negara selepas memperoleh sokongan 52 daripada 60 senator selepas dua kali undi belah bahagian dilakukan, iaitu lebih dua pertiga persetujuan Ahli Dewan Negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS