Umno Kelantan sudah mengenalpasti empat Dewan Undangan Negeri (DUN) baru untuk dimasukkan dalam cadangan penubuhan tiga kawasan Parlimen baru di negeri itu yang akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Umno negeri itu akan mencadangkan supaya tiga kawasan Parlimen Pasir Puteh, Bachok dan Gua Musang dipecahkan bagi mewujudkan tiga kawasan Parlimen baru itu.

Tiga kawasan Parlimen baru yang dicadangkan itu ialah Selising (Pasir Puteh), Gunong (Bachok) dan Dabong (Gua Musang).

Menurut sumber Umno Kelantan, setiap kawasan Parlimen baru itu masing-masing dicadangkan mempunyai dua kerusi DUN Jelawang dan Nenggiri (Parlimen Dabong), Bukit Jawa dan Limbongan (Parlimen Selising) dan Mahligai dan Tok Bali (Parlimen Bachok).

Kerusi DUN Jelawang, Bukit Jawa, Mahligai dan Tok Bali adalah merupakan kawasan baru, manakala Nenggiri pula merupakan kerusi DUN sedia ada dalam Parlimen Gua Musang, begitu juga dengan kerusi Limbongan yang kini dalam Parlimen Pasir Puteh.

Sumber itu berkata, walaupun pada kebiasaannya, setiap kawasan Parlimen mempunyai tiga kerusi DUN, tetapi ketiga-tiga Parlimen tersebut, masing-masing hanya mempunyai dua kerusi DUN kerana jumlah pengundi yang ramai.

Menurutnya, jika cadangan tersebut diterima, Kelantan akan mempunyai 17 kawasan Parlimen (kini 14) dan 49 kerusi DUN berbanding 45 kerusi sekarang. Pada masa ini, kerajaan PAS Kelantan mempunyai 23 kerusi DUN manakala Barisan Nasional pula mempunyai 22 kerusi DUN.

"Kami akan membuat cadangan kepada SPR untuk mendapatkan tambahan kerusi Parlimen dan negeri itu, sebaik sahaja kajian mengenainya disiapkan sebelum akhir Jun ini," katanya kepada malaysiakini hari ini.

Persempadanan semula

Beliau berkata, SPR wajar memberi perhatian serius terhadap perkara tersebut kerana Kelantan tidak mendapat tambahan kerusi Parlimen sejak 10 tahun lalu.

Mengikut perlembagaan, katanya, SPR berhak menyemak dan mempertimbangkan untuk memberi tambahan kerusi baik Parlimen atau kerusi negeri selepas lapan tahun.

"Kali terakhir Kelantan mendapat tambahan kerusi Parlimen ialah pada pilihanraya umum 1995 iaitu Jeli dan Kubang Kerian. Manakala dalam piliharaya lalu, hanya dua kerusi negeri diberi iaitu Nenggiri dan Bukit Bunga," katanya.

Sumber Umno itu berkata, Umno negeri mahu SPR memberi pertimbangan serius terhadap tambahan kawasan Parlimen kerana sebahagian besar satu kerusi Parlimen membabitkan empat DUN.

Katanya, ramai wakil rakyat merungut kerana mereka terpaksa menjaga kawasan yang ramai penduduk berbanding sesetengah kawasan Parlimen di negeri lain yang hanya mempunyai dua kerusi DUN.

Parlimen Pasir Puteh diwakili oleh Datuk Che Min Che Ahmad, Datuk Awang Adek Hussein (Bachok) manakala Gua Musang diwakili Tengku Razaleigh Hamzah kesemuanya dari Umno.

Bagi kerusi Parlimen di Kelantan yang majoriti pengundi Melayu, BN mewakili lapan kerusi manakala dan enam kerusi lagi diwakili PAS.

Sumber itu berkata, Umno Kelantan mencadangkan persempadanan semula kawasan pilihanraya itu untuk kepentingan rakyat memandangkan jumlah pengundi di kawasan yang dicadangkan itu, jauh lebih ramai berbanding dengan sesetengah kawasan Parlimen di Sabah dan Sarawak.