Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bot karam: 3 lelaki ditemukan lemas di Pulau Redang

Tiga daripada lima lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot nelayan dinaiki mereka karam di perairan Pulau Redang Isnin lepas, ditemukan lemas, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata mayat mereka ditemukan terapung antara 11 pagi hingga 1.30 tengah hari semalam oleh nelayan setempat yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (Carilamat).

“Kesemua mayat ditemukan di lokasi berbeza sekitar 1.7 hingga 1.9 batu nautika dari Pulau Redang," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata kesemua mangsa yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu ialah Saludin Ismail, 50, Mohd Nazri Abu Bakar dan Zulkifli Umar, kedua-duanya berusia 48 tahun.

Katanya dalam kejadian pada 10 malam itu, bot nelayan dinaiki enam lelaki karam setelah dilanda ribut di kedudukan lebih kurang 10 batu nautika dari Pulau Redang.

Bagaimanapun, seorang mangsa terselamat iaitu Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, manakala dua lagi lelaki masih hilang iaitu Ahmad Zamri Ishak, 66, dan Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49.

Muhammad Suffi berkata sektor pencarian bagi operasi yang memasuki hari kedua diperluas hingga 242 batu nautika dan beberapa aset telah diatur gerak dalam operasi awal pagi tadi termasuk Kapal Maritim (KM) Redang, pesawat Bombardier CL415 bersama bot Perkasa 1234.

Beliau berkata operasi Carilamat yang turut dibantu lebih 10 bot nelayan tempatan itu ditangguh pada 7 malam semalam dan akan disambung 7 pagi hari ini.

Katanya semua mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk proses pengecaman dan bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Bot nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran TFA 124 itu keluar dari Jeti Pasir Puteh, Kelantan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS