Mengenang Lutfi: Angkat pena hingga akhir hayat
Pemergian penulis, wartawan dan aktivis politik, Ahmad Lutfi Othman pada tanggal 9 Julai 2022, dirasai bukan saja di kalangan keluarga, tapi juga anak didik, sahabat, kenalan, malah pembaca Allahyarham.
Anak kelahiran Kedah itu pergi mengadap Illahi ketika menerima rawatan di Hospital UiTM Puncak Alam, beberapa jam selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-59 akibat beberapa komplikasi kesihatan.
Berkongsi rasa kehilangan itu, pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka, Suria Janib.
Suria merupakan bekas penulis majalah Tamadun yang satu ketika di bawah kelolaan Lutfi.
Meskipun hanya sempat bekerjasama dengan Allahyarham selama tiga tahun, cukup bagi Suria untuk belajar dan kenal insan bernama Lutfi.
Ketika kemuncak era Reformasi pada 1998, Tamadun kelolaan Lutfi mencipta sensasi luar biasa. Ia semacam tular dan terjual ratusan ribu naskhah. Isi dan muatan majalah itu amat mencabar sekali pada waktu itu.
"Saya mula-mula bertugas sebagai wartawan di majalah Tamadun sekitar tahun 1995-1996. Sekitar tahun 1996, kumpulan kami ditugaskan untuk bawa gagasan baru atau pun idea baru bagaimana nak naikkan rating majalah dan antara nama yang dicadangkan pada masa itu adalah Lutfi.
"Perkara pertama yang dibuat adalah pelbagai pembaharuan bagi menampilkan wajah baru bagi majalah Tamadun.
"Sebab Lutfi ini ada karisma yang tersendiri dan dia punya pengalaman penerbitan itu memang dahsyat. Macam bagaimana mahu menaikkan (rating) majalah, antaranya adalah membongkarkan isu-isu yang boleh buat ia meletup, buat orang ramai lebih tertarik dengan majalah kami.
"Terutama isu-isu panas pada ketika itu yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim (ketika itu)," katanya.
Diheret ke bilik siasatan
Bagaimanapun, kata Suria, kejayaan Lutfi menyebabkan ramai tidak berpuas hati hingga Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengheret mereka ke bilik siasatan.
"Apabila kami berjaya membongkarkan isu-isu yang melibatkan kepimpinan negara sudah tentu menimbulkan banyak rasa tidak puas hati pihak tertentu, pada masa itu Lutfi ini memang bertindak sangat berani dan tulisan beliau kalau kita perhalusi memang akan memberikan pandangan yang sangat pedihlah.
"Kalau zaman sekarang orang akan kata ‘sentap gila’, tapi pada masa itu penulisan beliau sangat pedih menikam kalbu kalau siapa yang terlibat.
"Jadi, apabila beliau secara lantang memberikan komentar dan kritikan secara terbuka melalui penulisannya, akhirnya majalah kami menerima tamparan yang hebat daripada KDN dan itu merupakan pengalaman yang saya anggap pahitlah bagi kumpulan kami pada masa itu," katanya.
Rentetan daripada itu, pihak pengurusan yang melibatkan Suria dan Lutfi diberi amaran keras oleh KDN.
Namun, katanya, ia bukanlah pengakhiran bagi bekas ketuanya itu.
"Atas alasan majalah kami menghasut dan majalah kami diletakkan di bawah Akta Hasutan iaitu kandungan majalah kami pada masa itu banyak berbaur hasutan yang oleh menimbulkan ketidakselesaan orang ramai, boleh mengancam keharmonian negara, boleh menimbulkan spekulasi dan pandangan negatif terhadap sistem pentadbiran kerajaan pada masa itu.
"Kami juga diberi amaran akan dikenakan tindakan yang lebih tegas sekiranya kesalahan yang sama masih berulang dan selepas kami disiasat, Lutfi mengadakan perbincangan meja bulat, dia kata alang-alang kita berjuang kita tak akan berundur.
"‘Pantang berjuang kita mengaku kalah,’ begitulah katanya.
"Dia juga nampaknya tidak mengaku kalah dan keluaran (majalah) seterusnya dia ‘bermain api’ lagi dan masih membongkarkan isu-isu yang melibatkan ketidakadilan, rasuah dan masa itu tengah panas isu yang melibatkan ketirisan pucuk pimpinan, ketidakadilan, korupsi dan isu-isu tersebut memang tengah hangat diperkatakan dan beliau memang berani matilah dan tak akan menyerah kalah.
"Katanya (Lutfi) alang-alang kita dah separuh jalan, kita teruskan perjuangan kita kerana kita berada di pihak yang benar berdasarkan kepada bukti-bukti nyata yang kita perolehi dan data-data sumber yang kita peroleh dan kita yakin kita berada di pihak yang betul," cerita Suria.
Jadi, Suria berkata dalam salah satu ruangan nota pengarang, Lutfi menyelit ayat yang ditujukan kepada pihak terbabit yang menggambarkan ketuanya itu tak akan berkompromi atau tidak kendur dengan amaran KDN.
"Bagaimanapun, akhirnya kami menerima surat amaran dan majalah kami dirampas oleh KDN. Beberapa pegawai datang ke pejabat kami dan menggeledah yang kebetulan kami pada ketika itu sedang menjalankan proses penerbitan dan akhirnya majalah kami digantung penerbitannya.
"Selepas majalah kami digantung permitnya dia mengambil keputusan mengundurkan diri dan kembali kepada syarikat dia sendiri untuk menerbitkan majalah Wasilah pada ketika itu," katanya.
Berani suarakan pandangan
Kata Suria, dari pengalaman sepanjang tiga tahun bekerja bersama Lutfi, dia mendapati sikap ketuanya itu sudah tidak ditemui pada pengarang sedia ada ketika ini.
"Prinsip beliau ini memang kita tak akan temui pada pengarang-pengarang yang ada sekarang ini. Dia ini jenis mengangkat pena tanpa orang kata sampai akhir hayat dia akan mengangkat pena untuk menyatakan kebenaran.
"Beliau jenis yang tidak mengenal erti putus asa, walaupun dia sakit dan lumpuh separuh badan, dia gigih.
"Yang cuma saya ingat dia memang sangat berani dalam menyuarakan pandangan dia tentang ketidakadilan, tentang kebebasan media yang pada ketika itu kami berhadapan dengan Akta Media Cetak, suara-suara yang terikat, yang tidak boleh membicarakan isu-isu yang melibatkan kepimpinan negara, isu sensitif.
"Pada masa itu terlalu banyak pantang larang yang pengamal media kena ikut dan itu yang kita ada akta media cetak dan masa itu, ada akta keselamatan dalam negeri, maknanya penulis pada ketika itu sering kali ditakut-takutkan dengan akta tersebut.
"Tapi beliau ini jenis yang sangat berani, berfikiran terbuka dan ada prinsip dia yang memang susah nak digugat," tegasnya.
Lutfi juga dikenali dalam peranannya sebagai ketua editor lidah rasmi PAS, Harakah satu ketika dulu.
Dia menjadi wartawan dan editor selama lebih tiga dekad.
Pemergian Lutfi mengundang ucapan takziah daripada pelbagai pihak yang menyifatkan tulisannya sebagai suara utama ketika era Reformasi.
Lutfi mengetuai sidang editorial Harakah dari 1987 hingga 1992 dan pada 2006 hingga 2015.
Allahyarham kemudian menyertai Malaysia Dateline, iaitu lidah rasmi Amanah.
Selain itu, bekas tahanan ISA itu juga menulis pelbagai buku dan artikel berkenaan politik negara, dan diterbitkan di tengah keterbatasan media yang menyaksikan salah satu daripada majalah dwibulanan yang diterbitkannya diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Perjuangan Lutfi ke arah kebebasan media turut menyaksikan penubuhan ‘Kumpulan Aktivis Media Independen’ (Kami) bersama beberapa lagi aktivis lain.
Pada 2016, Lutfi menerbitkan salah satu buku terakhirnya, bertajuk Lorong Sunyi Media Bebas.
Ia merupakan himpunan 24 rencana karangannya dan 54 artikel berkenaannya oleh para penulis lain termasuk editor-editor veteran dan juga anaknya, Ahmad Luqman Hakim.

