'Menteri patut tumpu selesai isu ketirisan dalam laporan audit'
Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil menggesa supaya menteri-menteri menumpukan penyelesaian isu ketirisan dan kelemahan tadbir urus dalam negara.
Merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini, Faiz yang merupakan pemimpin Amanah menyentuh mengenai ketirisan projek dan beberapa program yang melibatkan kerajaan.
Antaranya merupakan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KL ATCC), ketirisan dalam Program Pembasmian Kemiskinan Bandar, pengagihan dana Majlis Agama Islam WIlayah Persekutuan (MAIWP) dan ketirisan dalam pembinaan sekolah.
“Menteri-menteri harus lebih proaktif berkaitan isu-isu ketirisan dan kelemahan tadbir urus.
“Menjadi tanggungjawab utama kabinet untuk memastikan wang rakyat tidak diseleweng dan ditadbir dengan baik.
“Hanya pengurusan kerajaan yang baik dapat memulihkan imej Malaysia, yang telah tercalar dengan pelbagai skandal korupsi sehingga digelar ‘kleptokrasi’ ketika pentadbiran BN di bawah Najib Razak sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
LKAN baru-baru ini mendedahkan bahawa KL ATTC dalam pelanjutan tempoh kontrak independent checker consultantnya (ICC) yang tidak sah kerana dibuat selepas tempoh kontrak asal tamat telah menyebabkan bayaran berjumlah RM4.88 juta dibuat melebihi kos siling kontrak yang sah.
Sejumlah RM5.33 juta bayaran ICC tidak dapat disahkan keteraturannya dan kelemahan dalam aspek keselamatan fizikal bangunan serta akses kepada sistem yang mendedahkan operasi KLATCC baharu kepada risiko pencerobohan, pengubahsuaian dan kehilangan data.
“Ini adalah isu-isu yang serius dan kegagalan Wee Ka Siong, sebagai menteri pengangkutan, dalam menjawab isu-isu ini cukup mengecewakan,” katanya Faiz.
“Sepatutnya, menteri-menteri berkaitan menjelaskan kepada umum apakah langkah yang telah atau bakal diambil untuk mengelakkan masalah sama berulang,” tambahnya.

