SAR: PAS Ktan diminta jangan curigai kerajaan pusat
Kerajaan PAS Kelantan perlu mementingkan masa depan pelajar dan guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan tidak harus mencuriga tawaran kerajaan pusat untuk membantu SAR di negeri tersebut.
Kerajaan PAS Kelantan perlu mementingkan masa depan pelajar dan guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan tidak harus mencuriga tawaran kerajaan pusat untuk membantu SAR di negeri tersebut.
Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Che Min Che Ahmad berkata keadaan SAR kini semakin daif untuk memenuhi keperluan asas seperti peralatan, bangunan dan gaji guru yang tidak setimpal dengan peranan mereka.
"Kita mahu pelajar yang keluar dari sekolah berkenaan dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi, bukan sekadar melepas tanggungjawab tanpa ada matlamat," kata bekas Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu.
Menurut laporan Bernama, beliau memberitahu pemberita demikian di majlis Kesyukuran dan Penyampaian Apparatus Assignmen Kelab Amatur dan Reakreasi Pasir Puteh di sini semalam.
Che Min mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak yakin kerajaan pusat mampu mempertahankan dasar SAR yang dibuat oleh kerajaan negeri sekarang.
Biayai persekolahan
"Kerajaan pusat tidak menjadikan Islam sebagai dasar, (sedangkan) SAR ialah sekolah agama Islam dan bila kita serahkan kepada kerajaan yang asasnya tidak Islam, bagaimana kita hendak percaya," katanya Nik Abdul Aziz.
Che Min berkata, kerajaan pusat cuma membantu berdasarkan permintaan rakyat yang tidak mampu membiayai perbelanjaan anak-anak mereka dan mahukan kedudukannya setanding dengan sekolah kerajaan pusat.
Pernah satu ketika, katanya, masalah yang sama berbangkit apabila kerajaan Kelantan menentang kurikulum Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diperkenalkan oleh kerajaan pusat, tetapi sekarang dasar itu diterima dengan baik oleh kerajaan negeri.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Islam Hadhari Badan Perhubungan Umno Kelantan, Kamarudin Mohd Noor berkata kerajaan negeri hanya mementingkan politik daripada masa depan pelajar dan guru di sekolah berkenaan.
"Mereka takut menerimanya kerana bimbang ibu bapa dan guru SAR yang kini memandang serong terhadap kerajaan pusat, bertukar haluan dan ini secara tidak langsung boleh menyumbang kepada kegagalan kerajaan negeri mempertahankan pemerintahan di Kelantan dalam pilihanraya umum akan datang," katanya.

