Pemimpin BN tidak setuju kjaan kutip tol di jalan lama
Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Bagan dan Batu Kawan tidak bersetuju dengan langkah kerajaan untuk mengutip tol di jalan utama sedia ada yang menghubungkan Seberang Jaya dan Butterworth.
Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) di Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Bagan dan Batu Kawan tidak bersetuju dengan langkah kerajaan untuk mengutip tol di jalan utama sedia ada yang menghubungkan Seberang Jaya dan Butterworth.
Menurut mereka, rakyat tidak kisah untuk membayar tol sekiranya laluan itu baru dibina atau memberi faedah tambahan kepada penduduk berkenaan.
Tetapi masalahnya, katanya, laluan itu merupakan laluan sedia ada dan selama ini mereka lalu di situ secara percuma.
Menurut laporan Bernama, Pembinaan plaza tol Sungai Nyior di laluan itu menimbulkan kontroversi kerana ia bukan laluan baru yang dibina menerusi projek Jalan Lingkaran Luar Butterworth (BORR) sepanjang 19km.
Sebaliknya, ia merupakan laluan sedia ada yang menghubungkan kedua-dua kawasan tersebut.
Terdapat ura-ura bahawa kutipan tol bagi plaza tol Sungai Nyior akan bermula 16 Februari ini tetapi sehingga kini kadarnya belum diumumkan.
Laluan utama ke sekolah
Atas alasan itu, semua pengerusi komponen BN dari empat bahagian berkenaan bersatu hati untuk menyuarakan keluhan rakyat di kawasan berkenaan yang akan terjejas dengan kutipan tol itu kelak.
Jika dikenakan tol juga, mereka merayu kerajaan persekutuan supaya menimbangkan kadar tol yang munasabah bagi laluan tersebut agar ia tidak membebankan rakyat.
Dalam satu sidang media yang dihadiri pemimpin terbabit, Pengerusi BN Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata, tol di laluan itu pasti membebankan rakyat kerana ia merupakan laluan utama mereka untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan bekerja setiap hari.
Menurutnya surat rayuan dihantar kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu dan salinannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, hari ini.
"Surat itu, yang ditandatangani oleh semua pemimpin parti komponen di empat bahagian itu, antara lain merayu kerajaan mengkaji semula kedudukan plaza tol berkenaan. Kita sedia berbincang dengan pihak berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung masalah ini," katanya.
Selain plaza tol Sungai Nyior, terdapat dua lagi plaza tol yang dibina di jajaran BORR iaitu di Perai dan Bagan Ajam yang melibatkan pembinaan projek lebuh raya baru.
Mulai 15 Januari lalu, syarikat konsesi BORR iaitu Lingkaran Luar Butterworth (LLB) Sdn Bhd, membuka laluan berkenaan secara percuma selama sebulan.

