Dua beradik berusaha tukar status agama
Dua adik beradik yang mendakwa beragama Hindu sedang berusaha untuk menukarkan status agama mereka dalam sijil kelahiran masing-masing.
Dua adik beradik yang mendakwa beragama Hindu sedang berusaha untuk menukarkan status agama mereka dalam sijil kelahiran masing-masing.
S Jeevanathan, 22, dan adik perempuannya, S Maneemegalay, 21, dinyatakan beragama Islam dalam sijil kelahiran tersebut selepas bapa mereka memeluk Islam sebelum mereka berdua dilahirkan.
Bapa mereka kembali semula ke agama Hindu pada 1991, tetapi telah dikebumikan secara Islam oleh pihak berkuasa Islam walaupun dibantah oleh anak-anaknya, demikian laporan akhbar New Straits Times Times.
"Bukan sahaja kehilangan bapa kami, tetapi kami juga tidak boleh berbuat apa-apa apabila mereka datang mengambil mayatnya," kata Maneemegalay dalam laporan tersebut.
Kedua beradik itu didaftarkan sebagai penganut Hindu dalam kad pengenalan mereka dan mahu menukar status agama mereka dalam sijil kelahiran masing-masing.
Bagaimanapun, permohonan mereka itu ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
"Mereka kata tidak boleh buat. Kami tidak mahu menerima nasib yang sama sepertimana yang menimpa bapa kami," kata Jeevanathan dalam laporan tersebut.
Kes tukar agama
Di Malaysia, bayi yang dilahirkan oleh ibubapa yang beragama Islam secara automatik diperaku sebagi beragama Islam dan ditegah bertukar ke agama lain.
Apa yang dialami dua beradik itu adalah antara kes-kes seumpamanya yang berlaku di negara ini.
Sebelum ini, seorang lelaki keturunan Cina yang tertukar sewaktu dilahirkan dan dibesarkan sebagai seorang Melayu-Islam, juga sedang berusaha keluar dari Islam dan mahu menukar namanya, selepas menemui semula keluarga sebenarnya.
Pada 2005, seorang pendaki gunung keturunan India, telah dikebumikan secara Islam walaupun dibantah keras oleh keluarganya.
- AFP

