mk-logo
Berita
Pemilik perniagaan di Kuantan tidak kibar Jalur Gemilang akan dikompaun
Diterbitkan:  Aug 15, 2022 9:35 PM
Dikemaskini: 1:38 PM

Majlis Bandaraya Kuantan memberi tempoh tiga hari kepada pemilik perniagaan tempatan untuk mematuhi syarat mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Pahang, sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang semakin hampir.

Pemilik niaga perlu kibarkan Jalur Gemilang, jika tidak dikompaun

"Adalah diingatkan bahawa pematuhan terhadap arahan pemasangan bendera bagi hari kebangsaan dan kebesaran merupakan sebahagian daripada syarat lesen premis yang dikeluarkan oleh Majlis (Bandaraya Kuantan).

"Pemilik premis juga perlu memastikan tiada Jalur Gemilang dan bendera negeri (Pahang) yang telah lusuh dan koyak berada di premis anda.

"Oleh itu semua pelesen diberi tempoh 3 hari berkuatkuasa hari ini untuk memasang bendera dan tindakan kompaun akan mula dijalankan secara besar-besaran selepas tempoh ini," katanya pada hantaran di media sosial hari ini.

Kenyataan itu tidak menyebut jumlah kompaun yang akan dikenakan, tetapi laporan New Straits Times pada 2018 berkata premis perniagaan Kuantan boleh dikenakan denda RM250 jika mereka tidak mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri antara tarikh 1 Ogos hingga 16 Sept.

Pekeliling mengenai syarat itu dilaporkan dikeluarkan pada Julai tahun itu, dikatakan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan memupuk semangat patriotisme.

Lihat Komen
ADS