Paling Popular
Terkini

BN belum membuat keputusan berhubung permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan beberapa lagi parti politik yang mahu menyertai gabungan itu.

Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kader berkata ini kerana permohonan parti terbabit sedang diperhalusi oleh urusetia BN.

“Dewan Tertinggi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada parti-parti tersebut atas minat dan kesediaan mereka untuk bersama-sama dengan BN.

“Kesemua permohonan tersebut sedang diperhalusi oleh pihak urusestia BN,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Tertinggi parti itu, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, malam ini.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan dalam Konvensyen BN berkata segala keputusan berhubung perkara itu akan ditentukan secara konsensus di antara keempat-empat parti komponen BN.

Enam parti buat permohonan

Sementara itu, Presiden MIC, S. Vigneswaran yang ditemui media mengesahkan enam parti telah membuat permohonan untuk menyertai BN.

“Enam yang minta tapi keputusan belum dibuat,” katanya ringkas tanpa mengulas lanjut parti yang membuat permohonan.

Selain itu, Zambry berkata Dewan Tertinggi BN turut memutuskan tentang persiapan part bagi menghadapi PRU ke-15 di semua peringkat dan komponen BN.

“Dewan Tertinggi (BN) berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan yang sedang dijalankan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Neger seluruh negara,” katanya.

Dewan Tertinggi BN juga malam ini juga bersetuju mewujudkan Puteri BN bagi menyelaras pergerakan wanita muda di semua parti komponen.

“Sehubungan itu, Zahida Zarik Khan dilantik sebagai Ketua Puteri BN,” katanya.

Tambah Zambry, Dewan Tertinggi juga turut mengesahkan penyambungan pelantikan Bendahari Agung BN, Hishamuddin Hussein bagi tempoh dua tahun lagi selaras dengan Perlembagaan BN.

Terdahulu, BN mengadakan mesyuarat Dewan Tertinggi bagi membincangkan mengenai status permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang ingin menyertai gabungan terbabit.

Mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi turut dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri pemimpin komponen BN lain iaitu Presiden MCA Wee Ka Siong, Presiden MIC S Vigneswaran dan Presiden PBRS Joseph Kurup.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS