Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu persoal pendirian DAP atas isu integriti

Sikap pimpinan DAP dan Pakatan Harapan (PH) terhadap integriti masih boleh dipersoalkan, kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Yazid Yunus.

Dia berkata, kenyataan dibuat Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, baru-baru ini mengambarkan seolah-olah parti itu sanggup bersekongkol dengan Umno bagi membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-15.

"Adakah Anthony (Loke) sedang bermimpi sedangkan sebelum ini, mereka sering melaungkan perkataan integriti, ketelusan dan menolak rasuah serta kleptokrasi?

"Saya nak tanya pengundi PH dan penyokong DAP, adakah mereka setuju untuk bekerjasama dengan Umno?

"Kalau jawapan mereka ya (setuju) amat malang sekali kerana ia membawa maksud DAP dan PH menyokong dan menghalalkan apa saja dilakukan Umno dahulu dan sekarang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini di Kuantan, hari ini.

Mohd Yazid yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang memberitahu, pimpinan DAP dan PH sering menuduh Bersatu sebagai pengkhianat.

Hakikatnya, dakwa Mohd Yazid, Bersatu merupakan parti yang konsisten menolak kluster mahkamah dan mengutamakan integriti.

Katanya, sikap DAP dan PH juga menunjukkan mereka sedia 'berjalan berpimpin tangan' dengan penjenayah bagi mendapatkan kuasa.

"Rakyat sudah muak dengan bahasa 'silang kata' digunakan pemimpin pembangkang kerana rakyat mahu melihat satu mesej dan pendirian yang jelas hala tujunya.

"Kita (PN) lebih memikirkan hal (kebajikan) rakyat, mencari jalan memajukan negara dan keluar dari tekanan ekonomi yang sedang dihadapi ketika ini.

"Jika Anthony Loke dan PH ingin mencari rakan sekutu atau electoral pact yang mengutamakan rakyat, Umno bukanlah pilihan yang tepat," katanya.

Tambah Mohd Yazid dengan memilih Umno, itu menunjukkan DAP dan PH adalah "pengkhianat sebenar" kepada rakyat.

Dalam temu bual dengan sebuah portal pada 8 Ogos lalu Loke dipetik sebagai berkata DAP tidak akan menolak kemungkinan bekerjasama dengan Umno kerana apa sahaja boleh berlaku dalam politik.

Katanya, politik Malaysia mengalami perubahan drastik sejak PRU 2018, terutamanya dengan ketiadaan parti tunggal yang dominan.

Bagaimanapun, Loke menegaskan, sebarang kerjasama hanya akan berlaku selepas PRU ke-15.

Namun, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam satu sidang media di Ipoh, Perak pada Khamis lalu menjelaskan, tidak timbul soal PH akan bekerjasama dengan Umno selepas PRU ke-15.

Anwar berkata, jika dilihat konteks ucapan Loke tersebut, ia tidak sampai ke tahap kerjasama seperti yang difahami sesetengah orang.

"Kenyataan Anthony tempoh hari merujuk pada kemenangan PRU ke-15 adalah atas nama PH, namun, seandainya keadaan selepas PRU ke-15 rumit dan gawat, maka beliau tidak menolak kemungkinan yang akan berlaku," kata Anwar.

Lihat Komen
ADS