Pelantikan Nooh tingkat pengurusan fatwa negara, kata Jakim
Pengalaman dan kredibiliti Nooh Gadut sebagai pengerusi baru Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) diharap dapat mempertingkatkan lagi pengurusan dan penyelarasan hal ehwal kefatwaan negara.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Hakimah Mohd Yusoff berkata Jakim turut menaruh keyakinan terhadap bekas Mufti Johor itu berdasarkan penglibatannya secara langsung dalam institusi kefatwaan sebelum ini.
“Berdasarkan pengalaman luas dan kredibiliti beliau sebagai mufti Johor sebelum ini serta penglibatan secara langsung dalam institusi kefatwaan, khususnya hal berkaitan isu-isu semasa di negara ini, Jakim menaruh keyakinan beliau akan dapat membantu mempertingkatkan lagi pengurusan dan penyelarasan hal ehwal kefatwaan di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pelantikan Nooh diperkenan melalui Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-259 yang diadakan pada 30 Jun lepas, dan berkuat kuasa sehingga 29 Jun 2024.
Watikah pelantikan Nooh telah disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI semalam.
- Bernama

