Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno Alor Setar minta Sanusi cakap berlapik, usah menyindir
Diterbitkan:  Aug 16, 2022 5:34 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Umno Kedah menunjukkan rasa kurang senang mereka terhadap cara layanan pemimpin PAS di negeri itu kepada mereka ketika hubungan kedua-dua parti terus menegang.

Ketua Umno Alor Setar, Mohd Yusof Ismail, berkata jika Muhammad Sanusi Md Nor mahu berkata sesuatu menteri besar terbabit sepatutnya 'berlapik' sesuai dengan budaya Melayu, bukannya menyindir.

Mohd Yusuf juga menasihatkan Sanusi agar tidak bersikap angkuh ketika mengajak Umno untuk bekerjasama di Kedah.

“Janganlah cakap begitu kerana dalam hidup, kita tak boleh angkuh dan riak. Kalau nak jemput, jemput elok-elok, dan kalau nak panggil, kita bermusyawarah sebab beliau menjadi menteri besar pun hasil daripada (bantuan) Umno," katanya yang dipetik Utusan Online hari ini.

Selepas Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan di luar pilihan raya umum (PRU) - bermula di Putrajaya sebelum diikuti di beberapa negeri termasuk Kedah - PAS memperoleh jawatan menteri besar hasil sokongan yang diberikan Umno.

Ketika itu tanpa sokongan Umno, PAS dan Bersatu tidak memiliki majoriti untuk menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Secara keseluruhan DUN Kedah mempunyai 36 kerusi. Daripada jumlah itu 15 diwakili PAS manakala enam lagi Bersatu. Kedua-dua parti itu adalah anggota Perikatan Nasional (PN).

Umno-BN pula hanya memenangi dua kerusi dalam PRU ke-14 lalu.

Pada 14 Ogos lalu Sanusi dilaporkan BH Online sebagai berkata, ketika ini Umno sudah tidak sekuat dulu dan PAS bersedia jika parti terbabit mengambil keputusan untuk melawan.

Berdasarkan bacaannya, Sanusi berkata, PAS-PN boleh memenangi sekurang-kurangnya 22 kerusi DUN Kedah dalam PRU akan datang,

Pada masa sama, kata pengarah pilihan raya PAS Pusat itu, jika Umno masih berminat untuk bekerjasama dengannya parti terbabit boleh "menumpang" kekuatan PAS Kedah.

"Kalau dia (Umno-BN) nak berkawan, dia boleh tumpang kuat kita tu.

"(Kalau) Dia nak lawan, saya rasa dia tak segagah dulu. Ada 'pelurulah' dalam badan dia, kaki dia pun pecah tiga empat dah," kata Sanusi.

Mohd Yusof mendakwa untuk membolehkan Sanusi dilantik menjadi menteri besar, tugasan tersebut pada awalnya digerakkan oleh Umno di sebalik kedudukan parti itu hanya mempunyai dua kerusi DUN.

"Saya menyeru kepada kepimpinan sama ada Umno atau PAS untuk kita bermuhasabah diri,” katanya lagi yang dipetik Utusan Online hari ini.

Lihat Komen
ADS