Pusat Perubatan Sunway nafi silap beri ubat
Pusat Perubatan Sunway hari ini berkata bahawa tiada kesilapan berlaku dari segi diagnosis klinikal dan pemberian ubat ketika merawat seorang anak kepada bekas penyampai radio.
"Pusat Perubatan Sunway amat prihatin dan memandang serius kejadian yang telah dibangkitkan oleh salah seorang ibu bapa pesakit kami di media sosial baru-baru ini.
"Sebagai maklum balas, pihak hospital telah menghubungi ibu bapa pesakit tersebut untuk memahami kejadian yang berlaku secara terperinci dan siasatan penuh telah dijalankan serta-merta untuk mengenal pasti puncanya.
"Setelah menjalankan siasatan lanjut, Pusat Perubatan Sunway telah mendapati tiada kesilapan berlaku dari segi diagnosis klinikal dan ubat yang ditetapkan oleh doktor yang merawat berdasarkan simptom pesakit setelah diperiksa di Jabatan Kecemasan hospital kami pada malam tersebut," kata Jabatan Komunikasi Korporat pusat perubatan itu kepada Malaysiakini.

Penafian itu sebagai menjawab dakwaan A Kumaresh sebelum ini bahawa anaknya silap diberi preskripsi ketika menerima rawatan.
Sebelum ini, isteri Kumaresh, Sivagamy Gobalan turut membuat aduan secara dalam talian terhadap doktor yang memberi rawatan kepada anak mereka.
Menurut pusat perubatan itu lagi, Tamiflu boleh diberikan kepada pesakit kanak-kanak tanpa ujian pengesahan berdasarkan pertimbangan klinikal memandangkan peningkatan kes influenza baru-baru ini.
Jelasnya, ia adalah selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai Pengurusan Jangkitan Influenza, serta garis panduan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.
Tambahan pula, kata pusat perubatan itu lagi, kajian telah membuktikan bahawa ubat berkenaan adalah paling berkesan apabila dimulakan dalam tempoh 48 jam dari permulaan gejala.
Terdahulu, Kumaresh memuat naik klip video melalui TikTok meminta orang ramai lebih peka ketika mendapatkan rawatan di hospital swasta itu.
Dia juga meminta orang ramai supaya memeriksa bil sebelum membuat bayaran. Setakat laporan ini ditulis, klip video tersebut ditonton lebih 700,000 kali dan dikongsi lebih 6,000 kali.
Kumaresh berkata ketika mendapatkan rawatan pada 13 Ogos, doktor memberikannya ubat influenza dan memberitahu bahawa ujian bagi mengesahkan penyakit itu tidak perlu dibuat.
Bayaran RM455 dikenakan.
Tambahnya, bil ditukar dua kali ketika mereka minta penjelasan. Bil terakhir adalah RM160.
Sementara itu, pusat perubatan itu berkata bahawa percanggahan bil disebabkan kesilapan dari bahagian pentadbiran.
"Hasil siasatan kami telah mengesahkan bahawa kejadian itu berlaku disebabkan oleh kesilapan dari bahagian pentadbiran dan bukan kecuaian preskripsi. Kakitangan kami telah dengan segera mengambil maklum perkara ini dan secara terus telah meminda jumlah dalam bil terakhir.
"Pusat Perubatan Sunway telah berhubung dengan ibu bapa pesakit dan hasil siasatan kami akan dibincangkan secara teliti dengan mereka.
"Pengalaman tidak menyenangkan pesakit dan ibu bapa mereka di hospital kami amatlah dikesali dan kami akan terus memastikan setiap pesakit mempunyai hak untuk mendapatkan penjagaan kesihatan dan rawatan yang cekap," katanya.

