Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengumumkan peniaga individu dan syarikat yang menjadi mangsa banjir di seluruh negara layak mengurangkan anggaran cukai tahunan 2007 dan memanjangkan tempoh ansuran mereka.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dalam satu kenyataan hari ini, berkata anggaran pengurangan cukai itu bergantung kepada keadaan kerugian sebenar seperti yang terkandung dalam laporan polis dan ia bergantung kepada setiap kes sebenar.

LHDN menjelaskan kekeliruan yang timbul setelah Ketua Pegawai eksekutifnya, Hasmah Abdullah disalahlapor sebagai berkata di Batu Pahat, Johor semalam bahawa pengurangan anggaran cukai diberikan sehingga 85 peratus nilai cukai yang dibayar tahun lalu.

Menurut laporan Bernama, LHDN berkata syarikat sendirian berhad yang terlibat dengan banjir boleh memohon lanjutan daripada 12 kali bayaran bulanan yang dibenarkan sekarang kepada 18 kali bayaran bulanan.

Individu berniaga pula yang membayar setiap dua bulan sekali, iaitu enam kali setiap tahun, boleh memohon diberikan kemudahan untuk membayar sembilan kali setahun.

LHDN berkata permohonan boleh dikemukakan kepada pengarah cawangan di mana fail peniaga berada selewat-lewatnya pada 15 Mac ini dengan mengepilkan salinan laporan polis, surah pengesahan dari Pejabat Daerah atau sebarang dokumen bertulis yang mengesahkan pembayar cukai adalah mangsa bencana banjir.