Hanya Beberapa seminggu selepas banjir teruk melanda selatan tanahair, Malaysia kini mula bersiap sedia pula untuk berdepan dengan kemarau panjang yang diramalkan melanda bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datu Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, kerajaan sedang memantau paras air dan membuat catuan air jika perlu, selepas pakar cuaca meramalkan kesan daripada El Nino akan mengakibatkan kemarau luar biasa di rantau ini.

Najib juga dipetik oleh Bernama sebagai berkata, Malaysia melarang sebarang pembakaran sepanjang musim kemarau ini dan bekerjasama rapat dengan negara-negara jirannya untuk mengelak masalah jerebu teruk seperti tahun lalu, akibat pembakaran terbuka hutan di Sumatera.

Najib menyifatkan keadaan itu kritikal memandang sekarang adalah Tahun Melawat Malaysia.

Tenaga Nasional Berhad pula berkata, pihaknya bersiap sedia untuk menghadapi pertambahan permintaan bekalan elektrik memandang ramai yang akan menggunakan pendingin udara sepanjang musim panas sekarang.

"Biasanya, kemarau akibat El Nino akan meningkatkan penggunaan elektrik...sewaktu musim panas, lebih ramai menggunakan penghawa dingin," katanya Ketua Pegawai Eksekutifnya, datuk Khalid Mohamad Noh dalam laporan Bernama.

Menurutnya, semua loji kuasa utama akan terus beroperasi seperti biasa walaupun timbul kebimbangan mengenai masalah bekalan air.

Tiga hingga tujuh tahun

Menurut lamanweb Jabatan Perkhidmatan Kajicuaca, El Nino berlaku setiap tiga hingga tujuh tahun apabila arus air panas menggantikan arus sejuk di pantai barat Peru di Amerika Selatan.

Ia dikaitkan dengan keadaan cuaca luar biasa di berlainan lokasi di dunia, termasuk berlakunya banjir besar dan kemarau panjang.

"Ini akan mengakibatkan keadaan kemarau yang luar biasa di Malaysia, Indonesia, Filipina dan utara Australia sewaktu berlakunya El Nino," katanya.

El Nino akan berlaku selama sembilan hingga 18 bulan, dan yang paling teruk berlaku pada 1982-83 dan 1997-98.

Banjir teruk yang baru berakhir di selatan Malaysia telah mengorbankan 18 orang, dan memaksa beribu-ribu lagi dipindahkan, mengakibatkan kerugian sekurang-kurangnya RM1.5 bilion.

- AFP