Hadi: Demokrasi di Msia di landasan yang salah
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa demokrasi di negara ini tidak berada di atas landasan yang betul, tetapi sebaliknya diperintah oleh satu parti sahaja.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa demokrasi di negara ini tidak berada di atas landasan yang betul, tetapi sebaliknya diperintah oleh satu parti sahaja.
Katanya, parti pembangkang dianggap sebagai simbol atau komestik sahaja kerana kehadiran mereka tidak dipedulikan langsung oleh pemerintah, malah dianggap sebagai musuh.
"Pembangkang dianggap pengkhianat atau penjenayah dan ini sungguh berbeza dengan pembangkang di negara lain, termasuk di Amerika Syarikat.
"Di negara tersebut, pembangkang dianggap penasihat kepada kerajaan, dengan isu besar membabitkan negara dirujuk kepada pembangkang untuk mendapat pandangan.
"Tetapi pembangkang di Malaysia, untuk mengadakan ceramah pun dihalang, menyebabkan tidak berlaku proses penyampaian maklumat yang adil.
"Keadilan juga tidak wujud kerana pemimpin kerajaan dibela manakala pembangkang dikecam," katanya Persidangan Meja Bulat Nasional: Demokrasi dan Pilihanraya anjuran Gabungan Menuntut Pilihanraya Adil dan Bersih (Bersih) di ibu negara hari ini.
Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, demokrasi sepatutnya memberi peluang kepada rakyat mengubah kerajaan, tetapi ia tidak berlaku di Malaysia.
Jangan putus asa
Bagaimanapun, katanya, parti pembangkang tidak boleh berputus asa tetapi mesti terus bangkit berjuang walaupun kalah dalam pilihanraya.
"Adakah kerajaan yang ada hari ini mengamalkan prinsip demokrasi yang betul? Demokrasi yang betul membenarkan rakyat menjadi hakim. Tetapi rakyat Malaysia tidak diberi peluang menjadi hakim yang adil," katanya.
Beliau juga menyifatkan tindakan kerajaan melantik pemimpin politik yang kalah sebagai Senator, adalah amalan yang mencemari demokrasi.
Abdul Hadi juga mendakwa pelbagai masalah yang berlaku di dalam negara hari ini adalah akibat kegagalan kerajaan yang sedia ada.
Katanya, penyelewengan dan rasuah masih tidak dapat diatasi, malah beliau mendakwa, rakyat dirasuahkan supaya menyokong kerajaan yang ada.
Presiden PAS itu juga menyentuh mengenai demokrasi dan menurutnya demokrasi yang adil merangkumi kebebasan media.
"Malangnya kebesan media tidak berlaku di negara ini kerana ia dikongkong oleh pemerintah supaya mengikut kehendak mereka," katanya.

