BA, pembangkang digesa timbang semula tindakan boikot p'raya
Barisan Alternatif (BA) dan pembangkang disaran supaya mengkaji semula tindakan mereka memboikot pilihanraya ekoran usaha itu tidak berkesan dalam pilihanraya kecil Batu Talam pada 28 Januari lalu.
Barisan Alternatif (BA) dan pembangkang disaran supaya mengkaji semula tindakan mereka memboikot pilihanraya ekoran usaha itu tidak berkesan dalam pilihanraya kecil Batu Talam pada 28 Januari lalu.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali berkata, kegagalan itu berpunca daripada percanggahan pendapat di kalangan pemimpin pembangkang dan penyebaran maklumat yang tidak meluas mengenai tindakan boikot itu kepada pengundi Batu Talam.
"Ada pemimpin BA yang berkata, boleh keluar mengundi manakala yang lain pula kata, tidak boleh keluar mengundi, ini mengelirukan pengundi Batu Talam.
"Kita juga gagal menyebarkan maklumat mengenai boikot menyebabkan tidak menepati sasaran dan kerana itu ramai pengundi tidak faham," katanya.
Beliau menegaskan demikian Persidangan Meja Bulat Nasional: Demokrasi dan Pilihanraya, anjuran Gabungan Menuntut Pilihanraya Adil dan Bersih (Bersih) di ibu negara hari ini.
Hadir sama ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan wakil-wakil dari badan bukan kerajaan (NGO).
Bagaimanapun, Syed Husin berkata, cadangan itu merupakan pandangan peribadi beliau dan sebarang keputusan sama ada memboikot pilihanraya umum akan datang atau tidak ditentukan oleh pucuk pimpinan BA dan pembangkang.
Perubahan besar
Menurutnya, boikot pilihanraya hanya perlu dilakukan jika ada perubahan besar di kalangan rakyat yang membantah sistem pilihanraya yang diadakan.
Sementara itu, Abdul Hadi, ketika ditanya sama ada pembangkang akan memulaukan pilihanraya umum akan datang, bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata: "Kita akan menilai keputusan tersebut dari masa ke masa."
"PAS adalah sebuah parti yang mempunyai maruah dan tidak mahu mengikut telunjuk kerajaan sesuka hati," tambahnya.
Abdul Hadi berkata, PAS tidak pernah memboikot demokrasi tetapi mahu pilihanraya sebagai salah satu proses demokrasi yang segar.
Sementara itu, Lim berkata, pembangkang perlu berwaspada kerana persempadanan semula kawasan pilihanraya akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menjelang pilihanraya umum akan datang.
Beliau mendakwa, persempadanan semula itu bertujuan untuk memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, pilihanraya umum lalu BN tidak pernah mematuhi peraturan Suruhanya Pilihanraya (SPR), termasuk mengenai perbelanjaan semasa berkempen asalkan menang besar.

