Mahkamah tak benarkan peguam baru Najib tarik diri
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili Najib Razak dalam kes rasuah RM42 juta melibatkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak permohonan peguam utama bekas perdana menteri itu.
“Kami sebulat suara berpendapat bahawa keadaan fakta semasa, peguam telah gagal memberikan sebab yang mencukupi.
“Oleh itu permohonan untuk menarik diri ditolak dan peguam kekal dalam rekod demi kepentingan keadilan,” katanya.
Hakim Tengku Maimun: Kamu (Hisyam) mahu berhujah lagi?
Bolehkah kamu mengesahkan jika tidak mempunyai apa-apa untuk diperkatakan mengenai 94 alasan petisyen rayuannya (Najib)?
Hisyam: Tidak
Ketika ditanya jika dia akan bergantung kepada penghujahan yang difailkan ketika kes di peringkat Mahkamah Rayuan, Hisyam menjawab “ya”.
Justeru, mahkamah membenarkan pihak pendakwaan untuk membuat penghujahan terlebih dulu.
Hisyam pagi tadi sekali lagi merayu supaya diberikan masa yang wajar untuk melakukan persiapan sebelum mengemukakan hujahan rayuan.

“Saya mohon maaf secara ikhlas dan dari lubuk hati saya. Saya tidak dapat meneruskan kes ini.
“Saya berharap mahkamah memberikan budi bicara yang memihak kepada saya,” katanya.
Hisyam menyatakan hasratnya menarik diri jika mahkamah enggan menyemak semula permohonan bagi menangguhkan kes.
“Saya mesti menekankan bahawa (permohonan untuk penangguh) dilakukan dengan suci hati.
“Dalam keadaan ini, saya berharap agar mahkamah ini sedia menyemak keputusan awal dan membenarkannya,” katanya.
"Ini akan menyedihkan buat saya kerana saya tidak pernah melakukan perkara ini sepanjang 45 tahun berkhidmat sebagai peguam," katanya.
Tengku Maimun kemudian berkata, mahkamah tidak ada sebarang alasan untuk menyemak keputusan sebelum ini yang menolak permohonan Najib untuk menangguhkan prosiding.

Katanya, pada peringkat ini, mahkamah masih menganggap Hisyam sebagai peguam Najib sehinggalah dia menarik diri mengikut prosedur dengan mengemukakan afidavit sokongan mengapa bertindak sedemikian.
Dia seterusnya memberi amaran kepada Hisyam tentang implikasi tindakannya.
“Kami telah memberikan alasan yang menyeluruh. Adakah kamu sedar bahawa sebagai mahkamah tertinggi kami mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk melaksanakan keadilan, dan bidang kuasa kami adalah untuk memastikan mahkamah berfungsi?
“Adakah kamu menerimanya? Anak guam kamu tidak akan diwakili. Jika kamu menarik diri, kamu akan membiarkannya tanpa diwakili. Boleh kamu menerimanya?", soal Ketua Hakim Negara itu dengan tegas.
Hisyam menjawab dia menerima semua yang dikatakan oleh Hakim Tengku Maimun.
Hisyam menjawab dia menyedarinya dan oleh sebab itu dia merayu panel hakim memberikan masa yang munasabah untuk mengemukakan hujahan rayuan dengan teratur.
"... dalam keadaan ini saya tidak boleh terus mewakili Datuk Seri Najib," katanya.
Hisyam tetap dengan pendiriannya bahawa dia tidak bersedia jika penangguhan tidak dibenarkan.
"Saya tidak tahu apa lagi hendak cakap," kata Hisyam.
Hakim Tengku Maimun kemudian menjawab: “Tetapi kamu masih memerlukan kebenaran kami untuk menarik diri.
“Kamu sepatutnya memfailkan afidavit dahulu. Peguam tidak seharusnya meninggalkan begitu sahaja tanpa memberitahu mahkamah.
"Pada pendapat kami, kamu boleh mengendalikan kes ini dan kamu mempunyai banyak peguam yang tersedia," katanya.

Hakim lain yang bersidang bersama ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd.
Mahkamah pada Selasa lalu menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran rayuan dan mengarahkan prosiding diteruskan hari ini.
Mahkamah juga menolak usaha Najib untuk mengemukakan bukti baharu dalam kes SRC itu untuk membatalkan perbicaraan.
Perbicaraan rayuan itu telah ditetapkan pada 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos.

