Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan pelaku yang didakwa merosakkan Jalur Gemilang di sekitar ibu kota telah ditahan.

Dalam hantaran di Facebook rasmi DBKL, pihaknya memaklumkan individu diserahkan kepada pihak berkuasa di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur.

"Baru-baru ini admin ada laporkan tentang beberapa tindakan vandalisme yang melibatkan kejadian Jalur Gemilang dirosakkan di beberapa lokasi pemasangannya di pusat bandar. 

"Jadi hari ni min nak update yang pelakunya telah dikenal pasti dan ditahan seterusnya telah diserahkan ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut," katanya di Facebook.

Terdahulu polis mengesan seorang lelaki berhubung insiden menggunting Jalur Gemilangibu negara.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata bagaimanapun setakat itu, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.