Tolak cubaan wujud dinasti dalam Umno, kata Dr M
Ahli Umno diingatkan supaya menolak sebarang cubaan untuk mewujudkan dinasti pemimpin ala Singapura Dinasti Lee Kuan Yew dalam parti itu.
Ahli Umno diingatkan supaya menolak sebarang cubaan untuk mewujudkan dinasti pemimpin ala Singapura Dinasti Lee Kuan Yew dalam parti itu.
Ketika mengingatkan demikian, bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketika berkuasa dahulu, beliau tidak mahu mana-mana anaknya terlibat dalam politik walaupun ada cadangan daripada pemimpin lain supaya meletakkan anaknya sebagai calon pilihanraya.
"Sebarang cubaan untuk mewujudkan dinasti perlu ditentang. Umno tidak perlu meniru cara Singapura yang mempunyai Dinasti Lee Kuan Yew," katanya di seminar kepimpinan anjuran MYKMU.NET, sebuah laman blog, di Johor Bharu semalam, yang dihadiri oleh 500 peserta.
Menurutnya, setiap ahli Umno sejak parti tersebut ditubuhkan oleh Datuk Onn Jaafar 60 tahun lalu mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan menegur parti jika keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan itu tidak betul.
Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir bekata, perbuatan menegur pemimpin bukanlah sesuatu yang asing bagi ahli Umno kerana ia telah berlaku sejak Umno dipimpin oleh pemimpin terdahulunya Onn, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan ketika zaman pemerintahannya.
"Kita perlu berani menegur pemimpin jika keputusan yang dibuat oleh mereka itu tidak baik dan menjatuhkan maruah bangsa," katanya.
Teguran membina
Bekas Perdana Menteri yang berusia 82 tahun itu juga berkata, teguran-teguran yang dibuatnya terhadap penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya menyentuh cara negara ditadbir dan tidak pernah bersifat peribadi.
"Ia tidak ada kena mengena dengan peribadi," katanya.
Dr Mahathir juga bercakap mengenai ahli Umno yang menurutnya, telah kehilangan kebebasan dan keberanian untuk mengeluarkan pandangan yang berbeza tentang parti dan pucuk pimpinannya.
Beliau mendakwa ketika ini, hanya pandangan-pandangan yang menyokong pimpinan sahaja dibenarkan manakala pendapat yang bertentangan akan dihalang.
"Ahli-ahli Umno perlu mendengarkan pandangan dan pendapat kedua-dua pihak untuk membolehkan mereka menilai sebelum membuat sesuatu keputusan yang betul. Jika kita hanya mendengar pandangan dari satu pihak sahaja, kita tidak berupaya membuat keputusan yang betul," katanya.
Menurut beliau, ia adalah sama seperti seorang hakim memerlukan penjelasan daripda pihak pendakwa dan pembela, sebelum beliau boleh membuat keputusan tentang kes berkenaan dengan adil.
Bekas Perdana Menteri yang baru pulih daripada serangan jantung tiga bulan lalu berkata, ahli parti yang mengeluarkan pandangan dan pendapat yang berbeza daripada apa yang ditentukan oleh pemimpin menghadapi kemungkinan kehilangan peluang, kontrak dan lain-lain.
Sebelah pihak
Menurutnya, Umno yang wujud pada masa sekarang ini adalah berbeza dengan Umno ketika zaman beliau dan sebelumnya, dengan ahli-ahlinya kini tidak dibenarkan mendengar pandangan yang berlainan.
Dr Mahathir berkata, dengan hanya membenarkan pandangan sebelah pihak sahaja didengar oleh ahli, segala keputusan yang diambil walaupun ia tidak betul, akan disokong.
Beliau juga berkata Malaysia tidak perlu menandatangai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat, kerana ia bermakna Malaysia akan kehilangan hak terhadap beberapa perkara seperti pembelian kerajaan.
Rundingan antara kedua-dua belah pihak kini berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.
Katanya Washington mahu menguasai kontrak-kontrak pembelian kerajaan bukan hanya di Malaysia malah di seluruh dunia.

