Dr M dirawat di IJN kerana selesema, kata Mokhzani
Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir menjelaskan bapanya dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana menghidap selesema dan tidak ada kena mengena dengan jantung.
Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir menjelaskan bapanya dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana menghidap selesema dan tidak ada kena mengena dengan jantung.
Pada 9 November tahun lalu, Dr Mahathir, 82, dimasukkan ke IJN kerana serangan jantung ringan dan dibenarkan keluar hospital selepas dirawat selama lima hari.
"Doktor kata beliau ok. Tidak serius seperti dulu (November). Beliau masih menjalani pemeriksaan," kata Mokhzani mengenai bapanya yang dimasukkan ke IJN semalam.
Beliau berkata: "Ia hanya selesema sahaja dan tidak ada kena mengena dengan jantung."
Mokhzani berkata bapanya dimasukkan ke IJN pada jam 1 pagi semalam "setelah mengadu tidak selesa."
"Alhamdulillah, Tun telah dimasukkan ke wad biasa setelah pada awalnya dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU)," kata Mokhzani kepada pemberita apabila ditemui di IJN.
K urang sihat
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, bapanya yang dikenalpasti kurang sihat kerana jangkitan selesema, akan diperiksa dalam tempoh dua hari sebelum dibenarkan pulang.
Sebelum itu, pembantu Dr Mahathir Sufi Yusoff berkata bekas perdana menteri pada mulanya dimasukkan ke CCU atas nasihat doktor peribadinya yang bertugas di IJN untuk memastikan pemeriksaan rapi dijalankan ke atas beliau.
"Tiada apa yang perlu dibimbangkan tentang kesihatan Tun kerana beliau boleh berjalan dan bercakap seperti biasa.
"Buat masa ini Tun menjalani pemeriksaan biasa di wad Bunga Raya".
"Pada mulanya Tun mengalami jangkitan flu, apabila tiba di sini, biasalah pihak IJN akan membuat pemeriksaan darah, perubatan dan lain-lain sejak pagi tadi," katanya.
Semalam, beliau ke Johor Bahru menyampaikan ucaptama pada seminar kepimpinan anjuran MYKMU.NET, sebuah laman blog.

