Kritikan terbaru PAS mengenai "konsert bertalu-talu" di Malaysia menunjukkan parti itu sudah tiada idea, kata Ketua Pemuda DAP Kelvin Yii.

Yii yang juga ahli parlimen Bandar Kuching menyifatkan PAS tiada lagi idea yang konstruktif untuk ditawarkan tetapi hanya mahu mewujudkan permusuhan dalam masyarakat berbilang budaya dan majmuk di negara ini.

Katanya lagi, di saat rakyat bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dan keadaan ekonomi yang suram, PAS seakan hanya mengambil berat untuk menjadi "polis moral" dan cuba masuk campur dengan hak warga yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"PAS harus mengakui dan menghormati bahawa rakyat mampu berfikir dan menilai apa jua bentuk hiburan untuk diri mereka sendiri, dan nasib negara terletak pada tadbir urus dan dasar yang baik dan, jumlah konsert yang diadakan," katanya lagi.

Yii mengulas kenyataan Pemuda PAS semalam yang mengecam penganjuran konsert di Malaysia yang disifatkan berlangsung secara “bertalu-talu” pada masa ini.

Ahmad Fadhli Shaari

“Penganjuran konsert-konsert bertalu-talu adalah kerja gila menjemput kemurkaan Allah SWT.

“Jangan dicabar emosi umat Islam. Pihak berwajib mohon dengar suara umat Islam sebelum datang kemurkaan Allah,” kata ketuanya Ahmad Fadhli Shaari.

Ahmad Fadhli tidak merujuk kepada mana-nama konsert secara khusus namun kenyataan itu dibuat kurang 24 jam selepas konsert penyanyi Billie Eilish di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Yii berkata apa yang membawa "kemarahan sebenar" ialah rasuah secara terang-terangan, tadbir urus yang buruk, ketidaksamaan, diskriminasi, undang-undang yang menindas, dan juga ancaman terhadap orang lain termasuk badan kehakiman.

"Semua retorik yang memecahbelahkan ini hanyalah untuk menutup ketidakcekapan pemimpin kerajaan dalam menangani isu sebenar yang memberi kesan kepada semua rakyat serta sikap berdiam diri mereka terhadap rakan mereka dalam kerajaan yang terlibat dalam rasuah besar dan kleptokrasi."

"Sebab itu, PAS tidak sepatutnya diberi kuasa di mana mereka boleh mempengaruhi dan merangka dasar negara yang memberi kesan kepada kita dan anak-anak kita," katanya lagi.

tidak sepatutnya ada tempat untuk PAS dalam kedudukan kuasa di negara kita di mana mereka boleh mempengaruhi dan menggubal dasar negara yang memberi kesan kepada kita semua termasuk anak-anak kita," katanya.