Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu berpandangan serangan terhadap hakim Mahkamah Persekutuan dalam rayuan kes SRC International bekas perdana menteri Najib Razak dibuat secara sengaja untuk menganggu kebebasan badan kehakiman.

Mengecam perkara itu, Ahmad Faizal yang juga menteri belia dan sukan berkata ia perlu dihentikan segera kerana berisiko mewujudkan keadaan tidak tenteram, termasuk mengancam kedaulatan undang-undang.

"Ia bukan sahaja tidak beretika dan menganggu sistem badan kehakiman tetapi, lebih malang serangan secara terbuka di media sosial itu juga mengundang persepsi negatif selain memalukan nama baik negara.

"Saya yakin, serangan ini sengaja dilakukan bagi mengganggu kebebasan badan kehakiman negara.

"Secara peribadi, saya berpandangan badan kehakiman perlu berfungsi sebagai benteng terakhir dalam menegakkan keadilan. Adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat untuk memastikan maruah institusi kehakiman dipelihara dengan rapi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu tidak menyebut mana-mana pihak secara khusus.

Terdahulu, di tengah-tengah pendengaran rayuan terakhir Najib, timbul dakwaan berkenaan suami Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Zamani Ibrahim dan hantaran Facebook yang ditulisnya pada 11 Mei 2018, yang antarany menyatakan kegembiraan Najib tidak lagi menjadi perdana menteri setelah kemenangan PH dalam PRU14.

Bekas Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Hamidah Osman membuat laporan polis berhubung tulisan itu dua hari lalu.

Anak Najib, Nooryana Najwa juga antara pihak yang berkongsi tulisan yang dikatakan dibuat Zamani itu di Instagram dan mengaitkannya dengan keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi ayahnya.

Pemimpin Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang juga seorang peguam, Lim Wei Jiet bagaimanapun tampil mempertahankan Tengku Maimun dengan berkata suami Tengku Maimun bukan ahli parti politik dan berhak memberi pandangan terhadap keputusan PRU lalu.

Terdapat juga beberapa catatan di media sosial yang bernada ancaman terhadap Tengku Maimun dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya akan melancarkan siasatan segera berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata walau demokrasi tidak menghalang hak untuk bersuara, namun ia tidak bererti mana-mana pihak boleh melakukan serangan peribadi yang "disulami niat jahat untuk kepentingan pihak tertentu".

"Badan kehakiman perlu diberi ruang dan masa bagi memastikan keadilan serta kebenaran dapat dilaksanakan demi kedaulatan undang-undang yang dijunjung," katanya lagi.

Semakin menjadi-jadi

Sementara itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan berasingan turut memberi peringatan tegas kepada pimpinan parti politik terutamanya Umno agar menghentikan serangan yang dilakukan terhadap institusi kehakiman negara.

Majlis Presiden PH menegaskan bahawa kebebasan institusi kehakiman perlu sentiasa dipertahan dan ia wajib kekal konsisten sebagai salah satu tonggak utama dan tiang seri negara.

“Majlis Presiden PH sangat terkejut dan amat dukacita dengan siri kenyataan pimpinan tertinggi Umno yang dilihat menyerang institusi kehakiman.

“Serangan ini semakin menjadi-jadi terutama apabila proses perbicaraan rayuan Najib dalam kes SRC International Berhad hampir ke penghujungnya.

“Malah serangan ini khususnya dari kalangan penyokong Umno dan ‘cybertroopers’ semakin bersifat ugutan termasuk ugutan bunuh terhadap Ketua Hakim Negara (Tun Tengku Maimun Tuan Mat),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dan Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko) Wilfred Madius Tangau.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut menyatakan sokongan terhadap tindakan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani yang memberikan jaminan untuk menyiasat dan mendakwa pihak melakukan ugutan terhadap Ketua Hakim Negara.

Katanya, ini kerana ugutan untuk mencedera atau membunuh itu adalah kesalahan jenayah di sisi undang-undang termasuk di bawah Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, kenyataan itu turut menegaskan bahawa perbicaraan kes itu perlu dibenarkan untuk berjalan sehingga ke penghujung.