PKR Sgor calon Anwar sebagai presiden
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sebulat suara mencalonkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden PKR.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sebulat suara mencalonkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden PKR.
Pada masa ini, Anwar merupakan Penasihat PKR dan jawatan presiden disandang oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat PKR Selangor pada 11 Februari lalu, kata Setiausaha PKR Selangor, Mohd Nazmi Rosli dalam satu kenyataan hari ini.
Mesyuarat itu juga mencalonkan Dr Syed Husin Ali untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden dalam Kongres Nasional Tahunan PKR yang dijadual hujung Mei depan.
Mohd Nazmi berkata, mesyuarat itu juga memutuskan sebulat suara agar bahagian-bahagian di seluruh Selangor mencalonkan Anwar untuk jawatan presiden dan Syed Husin sebagai timbalan presiden.
"Pada masa yang sama, bahagian-bahagian akan membawa usul di kongres nasional tahunan itu untuk merakamkan penghargaan kepada Dr Wan Azizah atas sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada parti," katanya.
Usul yang sama, katanya, memohon presiden dan Majlis Pemimpinan Tertinggi (MPT) supaya mempertimbang untuk memberi peranan bermakna kepada Dr Wan Azizah di dalam parti bagi membolehkan beliau terus menyumbang kepada usaha memperkasa dan memperkukuhkan parti.

