Pemuda Bersatu (Armada) berpendapat Umno tidak layak sama sekali bercakap mengenai integriti semasa mengulas cara Mahkamah Persekutuan mengendalikan kes rayuan Najib Razak.

Exco Bersatu Malaysia, Mohamad Siddiq Azani, malah berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sepatutna berasa malu kepada diri sendiri apabila "terdesak" mengkritik ketetapan dibuat hakim baru-baru ini.

"Ahmad Zahid adalah orang terakhir di dunia ini yang layak bercakap soal integriti dan kepercayaan," katanya hari ini.

Pada masa sama Armada juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas pada kadar segera ke atas mana-mana pihak yang cuba mencabar kebebasan institusi kehakiman negara.

Katanya langkah itu wajar bagi mengelakkan sentimen membenci badan itu disemai dalam kalangan orang ramai.

"Armada juga menghargai pendirian Majlis Peguam Malaysia, khususnya yang disuarakan presiden badan itu, Karen Cheah, yang begitu lantang mempertahankan badan kehakiman negara," katanya.

Menurut Mohamad Siddiq, Armada tegas mengutuk sebarang percubaan untuk merendahkan kredibiliti badan kehakiman dan menegaskan bahawa kebebasan badan kehakiman adalah kunci kepada kestabilan demokrasi di negara ini.

Katanya keyakinan rakyat terhadap integriti institusi kehakiman ketika ini tidaklah terhakis, sebaliknya yang apa yang berlaku ialah merosotnya kepercayaan mereka kepada Umno.

"Sejak minggu lalu, Ketua Hakim Negara diserang oleh laskar siber Umno dan adalah tidak sihat serta boleh mengancam keutuhan badan kehakiman negara.

"Perkara ini perlu dihentikan," katanya.