Kedudukan PAS di Kelantan tidak akan terjejas jika Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melakukan persempadan semula dengan menambah kawasan pilihanraya di neger itu, kata Ketua Pemudanya, Salahuddin Ayub

Katanya, PAS amat yakin bahawa sokongan rakyat Kelantan terhadap kerajaan negeri sejak 1990 tetap kuat dan tidak berbelah-bagi.

Sehubungan itu, katanya, PAS menyokong penuh cadangan Umno Kelantan untuk mendapatkan tambahan tiga kerusi Parlimen kerana parti pembangkang itu sendiri pun pernah mencadangkan demikian.

PAS, katanya, pernah meminta tambahan tiga atau empat kerusi Parlimen sewaktu persempadanan semula kawasan pilihanraya yang lalu ekoran pertambahan jumlah pengundi, tetapi ditolak oleh SPR.

"Jadi cadangan Umno Kelantan itu merupakan ulangan cadangan PAS sebelum ini," katanya kepada malaysiakini ketika diminta mengulas cadangan Umno Kelantan itu.

Umno Kelantang mencadang agar kawasan Parlimen Gua Musang, Bachok dan Pasir Puteh dipecahkan dengan menambah tiga lagi kerusi Parlimen baru, iaitu Dabong (Gua Musang), Gunong (Bachok) dan Selising (Pasir Puteh), kerana jumlah pengundi yang ramai, selain kawasannya yang luas.

Negeri majoriti Melayu

Kali terakhir Kelantan mendapat tambahan kerusi Parlimen ialah pada pilihanraya umum 1995, iaitu Parlimen Pengkalan Chepa dan Parlimen Jeli. Dalam pilihanraya umum lalu, negeri itu hanya mendapat tambahan dua kerusi negeri, iaitu Bukit Jawa dan Nenggiri.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, pengaruh PAS juga kuat di kawasan Parlimen baru yang dicadangkan oleh Umno itu kerana Bachok dan Pasir Puteh pernah dimenangi pembangkang dalam 1999.

"Malah peluang PAS untuk menang dalam tiga kerusi Parlimen baru yang dicadangkan dalam pilihanraya umum akan datang, tetap ada," kayanya.

Selain itu, Salahuddin juga mencadangkan agar kawasan pilihanraya Parlimen juga ditambah di negeri-negeri yang bermajoriti Melayu Kedah dan Terengganu.

"Kedua-dua negeri itu tidak mendapat sebarang penambahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak pilihanraya umum 1999," katanya.

Beliau berkata, apa yang penting ialah SPR menambah kerusi Parlimen di setiap kawasan yang memenuhi syarat seperti jumlah pengundi ramai dan kawasan yang besar.