Ikut logik Nazri, lebih separuh MP dianggap pelacur politik - MIC
Naib Presiden MIC A Kohilan Pillay mendakwa Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz semakin 'hilang kawalan'.
Ia susulan kenyataan terbaru pemimpin Umno itu yang mengatakan pemimpin politik yang berusaha untuk bertanding di kawasan baru yang lebih selamat sebagai 'pelacur politik'.
"Ikutkan logik Nazri, hampir lebih separuh ahli parlimen yang ada hari ini (dia anggap) adalah pelacur politik.
"Ini termasuk, ahli-ahli parlimen pembangkang termasuk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan ketua pembangkang Anwar Ibrahim yang bertanding di kerusi baru pada PRU15 dan PRK Port Dickson.
"Saya percaya sejak kebelakangan ini Nazri semakin hilang kawalan kerana sentiasa 'mabuk'.
"Mabuk yang saya maksudkan bukan mabuk alkohol tapi mabuk politik," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Nazri yang menyifatkan Presiden MIC SA Vigneswaran sebagai pelacur politik kerana mencari kerusi baru yang selamat pada PRU15 akan datang.
Sejak minggu lepas, MIC dan Nazri bertikam lidah berhubung tuntutan Vigneswaran bahawa parti itu bercadang bertanding 12 kerusi parlimen pada PRU akan datang.
Nazri menyifatkan MIC sebagai pengemis dan mendakwa parti itu menang di PRN Melaka dan Johor atas ihsan Umno.

Vigneswaran membalas Nazri dengan menggunakan istilah ‘pelacur politik’ dan mendakwa bahawa pemimpin Umno sering menukar sokongan untuk kepentingan peribadi termasuk kepada Anwar dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Susulan itu, dalam laporan Astro Awani hari ini, Nazri dipetik sebagai berkata, dalam politik, mereka yang tewas beberapa kali di satu-satu kawasan dan berusaha untuk bertanding di kawasan baru yang lebih selamat itu sebenarnya 'pelacur politik'.
Sementara itu, Kohilan berkata bahawa Vigneswaran dilantik sebagai penyelaras kerusi parlimen Sungai Siput di mana kerusi itu secara tradisi ditandingi oleh presiden-presiden MIC.
"Vigneswaran menang bertanding di Kota Raja pada 2004 sebelum kalah pada 2008 kerana tsunami politik oleh kebangkitan Hindraf. Sejak itu, beliau tidak mengambil bahagian dalam mana-mana PRU.
"Jadi, tidak bangkit isu presiden MIC mencari kerusi selamat.
"Kita pun tahu, kebangkitan Hindraf pada 2008 adalah kerana sikap rasis segelintir ahli politik seperti Nazri yang mahu sekolah vernakular ditutup," katanya.
Kohilan juga mempersoal sumbangan Nazri di Padang Rengas.
Katanya, meskipun sudah mewakili kasawasan Padang Rengas sekian lama, parlimen itu masih merupakan salah sebuah kawasan mundur di Perak.
"Satu-satunya kejayaan di Padang Rengas adalah ahli parlimen dan keluarganya hidup mewah di luar negara,” katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/39cd5ffe775166f547b7b5dc1d671d40.jpg)
