'Maklumat beberapa hari lalu' punca Najib mahu Tengku Maimun tarik diri
Perbicaraan kes membabitkan Najib Razak hari ini bermula dengan peguam bela bekas perdana menteri itu memberitahu, mereka sudah mengemukakan permohonan agar Tengku Maimun Tengku Mat menarik diri daripada prosiding berkenaan.
Peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik, berkata permohonan tersebut dikemukakan kepada mahkamah semalam.
Kata Hisyam Teh permohonan terhadap ketua hakim negara itu difailkan berdasarkan maklumat yang diperoleh beberapa hari lalu.
Ketika ini Tengku Maimun mempengerusikan panel lima hakim untuk mendengar kes Najib berkait dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Empat hakim lain yang bersidang bersama Tengku Maimun ialah Abang Iskandar Abang Hashim, P Nallini, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Menurut salinan afidavit yang digunakan untuk menyokong permohonan tersebut, Najib berkata pada 17 Ogos lalu dia mendapat tahu mengenai hantaran didakwa dibuat suami Tengku Maimun, Zamani Ibrahim.
Kata Najib, hantaran bertarikh 11 Mei 2018 itu antara lain didakwa melahirkan rasa gembira Zamani apabila dia ‘digulingkan’ dalam PRU ke-14.
“Saya benar-benar percaya bahawa perkembangan ini amat membimbangkan memandangkan Zamani jelas mempunyai sentimen negatif terhadap kepimpinan saya di negara ini semasa saya menjadi perdana menteri dan membuat kesimpulan saya telah menyedut dana kerajaan ke akaun peribadi saya.
“Sebagai suami kepada pengerusi yang mengadili rayuan saya, berkemungkinan dia (Zamani) akan mempengaruhi pemikiran pengerusi mengenai dakwaan saya bersalah," katanya.
Najib juga berhujah, berdasarkan hubungan suami isteri tersebut, ada kemungkinan Tengku Maimun dipengaruhi secara tidak sedar oleh sentimen Zamani.

Berdasarkan keadaan itu, tambah Najib, sebarang dapatan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan ke atasnya akan tertakluk kepada keraguan dan keputusan dibuat secara berat sebelah.
Ia juga, dakwa Najib akan menimbulkan keraguan orang awam terhadap kebebasan badan kehakiman negara.
Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu juga menegaskan, sebelum Mohd Nazlan Mohd Ghazali menghakimi perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hakim terdahulu - Sofian Razak - menarik diri kerana dikatakan ada saudara lelakihya menjadi ahli Umno dan exco Pahang.
Najib berkata ketika itu berapa pihak termasuk Majlis Peguam mengeluarkan kenyataan menggesa Sofian menarik diri atas alasan ia mungkin dilihat gagal memberikan keadilan kepada tertuduh.

Justeru, kata Najib, dengan keadaan yang sama Tengku Maimun wajar berpegang kepada piawaian yang sama seperti disarankan Majlis Peguam.
Selain itu, tambah Najib, hakim asal yang mendengar permohonannya untuk mendapatkan khidmat peguam diraja United Kingdom, Wan Ahmad Farid, juga menarik diri kerana abangnya seorang ahli Umno yang aktif.
Penarikan diri itu, katanya, dibuat walaupun tidak mendapat bantahan daripada mana-mana pihak.
Oleh itu, katanya, Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi negara wajar mencontohi piawaian tersebut.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/c5d05ef292a09caafd10e695be046cca.jpg)
