Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib gagal rayuan akhir kes SRC
Diterbitkan:  Aug 23, 2022 4:31 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib Razak dalam kes rasuah melibatkan SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta.

Dia justeru akan menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai hari ini.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat.

Selain Tengku Maimun, empat lagi yang mendengar permohonan Najib ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim, selain hakim kanan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan, dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Tengku Maimun Tengku Mat

Selepas keputusan dibacakan, beberapa anggota polis dilihat menghampiri Najib di kandang tertuduh bagi melaksanakan hukuman penjara itu.

Tengku Maimun ketika membacakan keputusan berkata hakim perbicaraan di Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali  betul semasa memutuskan kes prima facie ke atas Najib dan mengarahkannya membela diri bagi tujuh pertuduhan rasuah.

Tengku Maimun juga berkata pasukan Najib sudah diberi peluang untuk mengemukakan rayuan tetapi mereka enggan berbuat demikian.

Panel lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun menolak rayuan bekas perdana menteri itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Antara penyokong Najib di luar mahkamah

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyabitkan Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, hakim Mohd Nazlan ketika itu membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Sementara itu, petugas media kini mula membanjiri Penjara Sungai Buloh.

ADS