Meskipun keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman bersalah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berpendapat ia bukanlah faktor PH akan menjadi kuat.

Sebaliknya, dia berkata gabungan itu hanya akan menjadi kuat menerusi usaha dan ikhtiar sendiri.

“PH tidak terus kuat hanya kerana Najib dihukum penjara. PH hanya akan kuat dengan usaha dan ikhtiar sendiri.

“Justeru saya tidak pernah memilih Najib sebagai sasaran kerana mengikuti kes mahkamah yang beliau hadapi, ia soal masa sebelum beliau dipenjarakan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes rasuah melibatkan SRC International Sdn Bhd melibatkan dana RM42 juta.

Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tengku Mat.

Sehubungan itu, ahli parlimen Pekan itu akan menjalani hukuman penjara selama 12 tahun bermula hari ini.

‘Rasa tak puas hati terhadap Ismail’

Mengulas lanjut mengenai keputusan tersebut, Saifuddin menjangkakan Umno akan terus bergolak berikutan keputusan mahkamah terhadap Najib hari ini.

“Rasa tak puas hati terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan memuncak. Ismail dilihat ‘cuci tangan’ dan ini tidak dapat diterima oleh ahli-ahli Umno yang menyokong Najib,” katanya.

“Jika Najib dianggap liabiliti, kini liabiliti itu sudah dihukum dan Umno sedikit dilihat ‘bersih’.

“Jika Najib dilihat sebagai aset, Umno akan kehilangan watak yang ‘popular’, yang dilihat berjaya pulihkan Umno selepas kalah PRU14 yang lalu,” katanya.

Bagaimanapun, dia berharap supaya Najib sekeluarga sabar dan bertabah dalam menghadapi ujian yang melanda.