Dr Mahathir dibenarkan pulang petang tadi
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan pulang petang ini setelah menjalani rawatan sejak semalam di Institut Jantung Negara (IJN) kerana jangkitan flu.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan pulang petang ini setelah menjalani rawatan sejak semalam di Institut Jantung Negara (IJN) kerana jangkitan flu.
"Saya sihat, tiada apa-apa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di ruang legar IJN untuk pulang pada jam 4.15 petang tadi.
Dr Mahathir, yang berbaju kemeja lengan panjang berwarna biru muda, kelihatan ceria sambil diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan berkata kemasukannya ke IJN "hanya untuk pemeriksaan biasa."
"Mereka kata tidak ada apa-apa," katanya.
Sementara itu, menurut laporan Bernama, pakar kardiologi IJN Datuk Dr Mohd Nasir Muda yang mengiringi Dr Mahathir berkata: "Beliau dimasukkan ke sini kerana jangkitan flu."
"Seperti biasa kami menjalankan ujian darah dan beliau didapati sihat," katanya.
Jangkitan flu
Beliau berkata Dr Mahathir, yang menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN pada 24 Jan 1989, menjalani pemeriksaan susulan setiap tahun di IJN.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan kesihatan beliau, katanya.
Dr Mahathir dimasukkan ke IJN awal pagi semalam setelah mengadu kurang sihat dan terus dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU).
Bagaimanapun beliau dipindahkan ke wad biasa selepas didapati hanya mengalami jangkitan flu.
Pada 9 November tahun lalu, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN kerana serangan jantung ringan dan dibenarkan keluar hospital setelah dirawat selama lima hari.

