Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atas Najib Razak dalam kes SRC International merupakan detik duka buat Umno, kata presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Zahid, parti itu tidak akan berputus asa dan akan terus berjuang bersama bekas perdana menteri itu.
“Semangat Datuk Seri Najib takkan pudar, perjuangan Umno tetap segar.
"Kami berada di luar dan dalam mahkamah tadi (Semalam) turut berasa sangat hiba, ada yang sebak dan teresak-esak menangis dari hati yang luhur. Namun ini tidak bermakna kami berputus asa.
"Semoga Datuk Seri Najib diberikan ketabahan dan kekuatan dalaman dalam menghadapi dugaan ini.
“Sebagai pejuang tulen tidak mudah beliau patah semangat dan berjuang terus berjuang," kata Zahid dalam hantaran di Facebooknya malam tadi.
‘Tiada pengkhianatan sesama kita’
Menurut Zahid, mesyuarat Biro Politik Umno akan diadakan dalam masa terdekat, sambil mengingatkan bahawa pihaknya “tahu mana kawan, dan mana lawan'.
"Kita akan bertindak rasional terus akur dengan kehendak keputusan parti. Biro Politik akan diadakan dalam masa paling terdekat.
"Tiada pengkhianatan sesama kita! Kita tahu yang mana lawan dan kawan sebenar!
"Maka ayuh kita bangkit mengharungi onak dan duri, api perjuangan kita terus semarakkan. Marilah kita bangkit bersatu hati dan tenaga agar perjuangan Datuk Seri Najib terus menyala-nyala.
"Walaupun di belakang duri di hadapan api! Kita tempuh bersama-sama!" katanya yang memetik sajak Sasterawan Negara, Usman Awang.
Semalam Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 terhadap Najib berhubung penyelewengan dana SRC International RM42 juta.
Jika gagal menjelaskan denda tersebut, hukuman penjara akan ditambah lima tahun lagi.
Selepas mahkamah menyampaikan keputusannya, Najib terus dibawa ke Kompleks Penjara Kajang untuk menjalani hukuman petang semalam.
