Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka
Diterbitkan:  Aug 24, 2022 12:37 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului senarai 347 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Melaka sempena ulang tahun ke-73 Yang Di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam hari ini.

Ismail Sabri dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama. 

Secara keseluruhan, seramai 883 penerima menerima pingat dan darjah kebesaran pada upacara yang berlangsung dalam tiga sesi istiadat iaitu pada pagi ini yang berlangsung di Balai Istiadat di Seri Negeri, Ayer Keroh dan dua sesi lagi pada 27 Ogos.

Penerima terdiri daripada anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan, ahli politik, ahli korporat, anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan, pengamal media dan ahli badan sukarelawan.

Turut menerima pingat kebesaran ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto yang masing-masing menerima pingat Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri. 

Sementara itu, seramai 26 penerima menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira manakala seramai sembilan orang lagi menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima DCSM adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Zaidi Johari dan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia Bukit Aman Datuk Zaini Jass sementara penerima DMSM ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia Datuk Isham Ishak dan Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah Dr Omar Raisul As-Salam Syah AS Omar. 

Bagi Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang juga membawa gelaran Datuk, seramai 163 penerima termasuklah penyanyi lagenda rock negara Amy Search atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman.

Sementara bagi Darjah Seri Melaka (DSM), anugerah tersebut diberikan antaranya kepada Pengarah Bomba Negeri Melaka Abu Bakar Katain. 

Bintang Gagah Perkasa (BGP) dikurniakan kepada Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah yang lemas dibawa arus deras pada 20 Okt 2021 ketika operasi menyelamat mangsa banjir di Kampung Sungai Putat.

Selain itu, penganugerahan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) diberikan kepada Azwan Omar atau dikenali sebagai Abang Viva di atas jasa membantu jasa banjir.

Penganugerahan juga diberikan kepada 71 penerima bagi Bintang Cemerlang Melaka (BCM) diikuti 159 penerima Bintang Khidmat Terpuji , 258 penerima Pingat Jasa Kebaktian, 151 penerima Pingat Bakti Masyarakat dan dua penerima Khidmat Lama. 

Sementara itu, Mohd Ali dalam ucapannya mencadangkan agar kerajaan negeri mempelbagaikan mod sistem pengangkutan awam di negeri itu dalam usaha menambah baik mutu perkhidmatan yang ditawarkan.

Beliau berkata penambahbaikan itu termasuk menaik taraf kemudahan berkenaan termasuk kepada golongan warga emas, ibu mengandung dan kanak-kanak.

"Sebagai sebuah negeri pelancongan, Melaka terus menjadi tumpuan pengunjung apabila negara beralih ke fasa endemik dan melalui pemerhatian saya, kebanyakan pelancong cenderung memilih untuk menaiki kenderaan sendiri bagi mengunjungi kawasan-kawasan tarikan.

"Oleh yang demikian, kerajaan negeri perlu menarik minat orang ramai untuk menjadikan pengangakutan awam sebagai mod pengangkutan pilihan dengan menambah baik mutu perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.

Mohd Ali berkata selain itu, jumlah laluan dan frekuensi laluan bas perlu ditingkatkan agar tempoh menunggu dan akses laluan lebih relevan, sesuai dengan kehendak pengguna.

Beliau berkata Panorama Melaka turut disaran meningkatkan bilangan bas serta mencari peluang memudahkan akses kepada perkhidmatan penggunaan teknologi yang diintegrasi dengan perancangan perjalanan serta pembayaran digital.

Katanya, adaptasi pengangkutan mikromobiliti perlulah dijadikan satu daripada mod pengangkutan di Melaka sejajar dengan perubahan teknologi terkini dan pihak berkuasa tempatan perlu memudah cara penggunaan teknologi tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri diharap dapat menyegerakan pelaksanaan Projek Rintis Rangkaian 5G melibatkan 133 lokasi di negeri itu pada tahun ini dalam usaha merapatkan jurang digital.

"Saya menyambut baik peluang yang diberikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Digital Nasional Berhad dalam melaksanakan usaha ini seterusnya meningkatkan kualiti rangkaian," katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam ucapan taat setia sempena istiadat berkenaan berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Rancangan boleh pinda Pertama tahun ini, Melaka telah menerima peruntukan berjumlah RM359 juta untuk pelaksanaan 169 projek.

Beliau berkata di bawah RMK12, Rancangan boleh pinda Kedua tahun ini pula, sebanyak 181 projek pembangunan dengan kos keseluruhan bernilai RM5.610 bilion telah diluluskan melibatkan peruntukan sebanyak RM571 juta.

"Pada tahun hadapan pula, kita merancang dan menyusun semula projek sedia ada agar lebih menepati setiap kumpulan sasar terutama projek-projek secara penswastaan khususnya di Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka atau M-WEZ.

"Selain itu, kita juga akan panjangkan permohonan projek kepada kerajaan persekutuan melalui permohonan Rancangan boleh pinda Keempat RMK12 bagi pelaksanaan 2024," katanya.

Lihat Komen
ADS