Peguam hak asasi gesa sistem pengampunan ditambah baik
Peguam hak asasi manusia Edmund Bon menggesa sistem pengampunan bagi banduan diperbaharui kerana menurutnya sistem itu ketika ini cacat dan memerlukan banyak penambahbaikan.
“Saya berharap kepentingan dalam kes (bekas perdana menteri) Najib Razak akan mendorong kerajaan untuk melihat pembaharuan pengampunan untuk banduan.
“Dan tidak lupa kepada banduan lain yang telah menunggu permohonan mereka didengari. Adalah tidak adil untuk mempercepatkan pendengaran permohonan seseorang hanya kerana dia pernah menjadi perdana menteri.
“Terdapat beribu-ribu banduan masih menunggu permohonan pengampunan mereka didengar dan kadang-kadang didengar semula. Anda boleh memfailkan pengampunan seberapa banyak kali yang anda suka.
“Tetapi sistem pengampunan adalah cacat dan memerlukan banyak penambahbaikan. Kadang-kadang ia mengambil masa bertahun-tahun untuk permohonan dipertimbangkan,” kata Bon.
Najib mempunyai pilihan untuk memfailkan petisyen untuk pengampunan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya.
Bekas perdana menteri itu mesti memfailkan petisyen dalam tempoh 14 hari atau kehilangan statusnya sebagai ahli parlimen Pekan.
Pengampunan bukan proses kehakiman. Ia adalah proses eksekutif di mana eksekutif boleh memilih untuk meremit, menggantung atau meringankan hukuman. Proses kehakiman berakhir di Mahkamah Persekutuan.
Jika Najib berjaya dalam petisyennya untuk pengampunan, pemenjaraan dan dendanya boleh dikurangkan atau digantung sepenuhnya.
Lembaga Pengampunan terdiri daripada peguam negara, menteri wilayah persekutuan dan tiga ahli lain yang dilantik oleh Agong, yang mengetuai lembaga itu.
Sementara itu, petisyen dalam talian oleh badan pemantau pilihan raya Bersih yang memohon baginda, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menolak sebarang pengampunan untuk Najib dilancarkan hari ini.
"Patik-patik sekalian rakyat memohon limpah perkenan Tuanku agar tidak menggunakan kuasa Tuanku untuk mengurniakan keampunan kepada mantan Perdana Menteri Najib Abdul Razak kerana jenayah terhadap kepentingan rakyat Malaysia sekalian.
"Ampun Tuanku, sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, beliau telah disabitkan bersalah menyeleweng dana awam melalui SRC International dan telah diberikan proses pengadilan yang seadilnya.
"Sebagai rakyat, patik-patik sekalian berasa sengsara dengan kesan korupsi oleh mereka yang diberi mandat membangun negara ini tetapi sebaliknya memenuhkan tembolok sendiri dengan kekayaan negara," kata petisyen dalam talian itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/2a33748dfb5885770c3706a1574c3b1b.jpg)
