Kira-kira 700 keluarga peneroka di tiga penempatan Felda di Jempol, Negeri Sembilan mengadu bahawa pusat jualan lembu milik Felda, menyebabkan berlaku pencemaran bau dan air busuk sejak hampir 10 tahun yang lalu.

Pusat ternakan lembu milik Felda Farm Product Sdn Bhd bertempat di Felda Palong 16 di atas kawasan seluas 10 ekar, mengendalikan kira-kira 1,000 ekor lembu, mula beroperasi pada 1998.

Pusat tersebut yang dikendalikan oleh kira-kira 50 pekerja Indonesia dirasmikan oleh bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad pada tahun yang sama.

Setiausaha Badan Bertindak Rakyat Felda Palong 14,15 dan 16, Feriz Musa mendakwa, penduduk pernah menemui bangkai lembu di dalam saluran air di kawasan ladang kelapa sawit di Felda berkenaan.

"Bagi sesetengah peneroka, mereka menjadikan saluran air sebagai tempat mandi dan membasuh pakaian," katanya.kepada malaysiakini.

Peneroka, katanya juga pernah menemui kepala lembu di dalam ladang kelapa sawit yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Selain itu, katanya, apabila angin kuat, penduduk akan menghidu bau busuk najis lembu dan ini mengganggu peneroka yang mengadakan majlis keramaian.

Hantar memo pada MB

"Paling menjijikkan, apabila peneroka mengadakan majlis perkahwinan, selain pencemaran bau, lalat juga berkeliaran di atas makanan yang dihidangkan.

"Keadaan ini menyebabkan peneroka tidak boleh mengadakan kenduri kendara kerana jemputan keberatan datang akibat bau busuk dan lalat," katanya.

Menurut Feriz, penduduk pernah membuat aduan kepada pihak pengurusan Felda Farm dan pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan tetapi sehingga ini tiada tindakan yang diambil.

Berikutan itu, pada 27 Oktober 2004, penduduk menghantar memorandum kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai perkara tersebut.

Menteri Besar, menurut Feriz, berjanji mengambil tindakan memindahkan pusat ternakan lembu terbabit tetapi sehingga hari ini ia belum menjadi kenyataan.

"Penduduk tidak menghalang projek ternakan lembu itu diteruskan tetapi mahu ia dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai dan jauh dari penempatan penduduk," katanya.

Feriz berkata, pada mulanya, Felda merancang untuk menjadikan kawasan itu sebagai pusat jualan daging lembu sementara sahaja.

Bagaimanapun, katanya, setelah hampir 10 tahun ia masih belum dipindahkan. Kawasan tersebut juga kawasan persinggahan pengguna jalanraya laluan Seremban ke Pantai Timur.

Dipindah bila-bila masa

Sementara itu, Penolong Pengurus Felda Palong 14, 15, 16, Abdul Razak Samad, ketika dihubungi malaysiakini hari ini, berkata, pusat jualan Felda Farm Product Sdn Bhd itu akan dipindahkan pada bila-bila masa sekarang.

Katanya, ini ekoran pihaknya telah mengenalpasti sebuah kawasan kosong di Palong 16 untuk penempatan semula pusat jualan tersebut.

"Kita berharap pihak peneroka bersabar kerana pusat itu akan ditutup pada bila-bila masa, untuk dipindah ke baru. Felda telah bersetuju untuk membina pusat jualan baru termasuk pembinaan tempat kumbahan dan kawasan menyimpan lembu.

"Kita faham memang berlaku pencemaran najis dan bau busuk kerana tempat kumbahan sekarang terlalu kecil sedangkan jumlah lembu yang ada adalah kira-kira 1,000 ekor," katanya.