Polis siasat draf penghakiman bocor di bawah OSA
Polis sedang menyiasat kebocoran draf penghakiman untuk kes rayuan SRC International bekas perdana menteri Najib Razak di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan dua undang-undang lain.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asmadi Abdul Aziz berkata dua laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu – kedua-duanya di Putrajaya.
Dia berkata polis setakat ini telah merekodkan kenyataan daripada pengadu dan pegawai komunikasi korporat.
"Kenyataan daripada beberapa orang lagi akan diambil," katanya kepada pemberita melalui mesej teks hari ini.
Asmadi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 OSA, yang menyentuh berhubung komunikasi rahsia rasmi secara salah.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua pengirim dan penerima boleh dipenjara antara satu hingga tujuh tahun. Penerima perlu membuktikan dia tidak mahu menerima komunikasi sedemikian.
Selain itu, Asmadi berkata kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA).
Seksyen 203A Kanun Keseksaan berkaitan pendedahan maklumat yang dikumpul dalam melaksanakan tugas, dan boleh dihukum denda sehingga RM1 juta, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya; jika disabitkan bersalah.
Sementara itu, Seksyen 233 CMA memperkatakan tentang penyalahgunaan kemudahan rangkaian. Jika sabit kesalahan, seseorang boleh didenda sehingga RM50,000, hukuman penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.
Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Najib dalam kes SRC International.
Bagaimanapun, sebelum keputusan itu dibacakan, draf penghakiman bertarikh 26 Ogos telah bocor dan kemudiannya diterbitkan di laman web penulis blog kontroversi Raja Petra Kamaruddin.
Ini mendorong Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki untuk menuntut jawapan sama ada dokumen itu sahih.
“Mesti ada penafian segera daripada mahkamah untuk mengelakkan sebarang persepsi negatif yang boleh menjejaskan imej badan kehakiman,” katanya semalam.
Pejabat pendaftar mahkamah kemudiannya mengesahkan draf penghakiman yang telah dibocorkan itu, dan menjelaskan dokumen yang bocor itu belum dimuktamadkan.
“Penghakiman muktamad disampaikan di mahkamah terbuka sekitar jam 4 petang…
"Didapati bahawa dokumen itu telah diubah suai," kata pendaftar itu.
Ia menyifatkan kebocoran itu sebagai tindakan yang disengajakan untuk menjejaskan integriti operasi mahkamah.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/08/08a5decb141f8dcc40173129f1e6c41c.jpg)
